Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab berkaitan insiden tiga pekerja warga Bangladesh mati tertimbus di Machang, 2 November lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan, Ir Abdul Aziz Salim berkata pihaknya memandang serius setiap insiden dan kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja ataupun orang awam.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan dibawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuklah di tapak pembinaan.
“Pihak JKKP telah menjalankan siasatan di tapak kejadian kemalangan bagi mengenal pasti punca kejadian dan telah mengeluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja pengorekan di tapak pembinaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu Ir Abdul Aziz berkata pihaknya sudah mengadakan lawatan susulan ke tapak kejadian bersama Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kelantan, Nazri Zakaria, Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Machang dan kontraktor yang terlibat.

Beliau berkata pihak majikan juga telah diarahkan untuk memastikan kawasan korekan dan kawasan sekitar hendaklah diperiksa oleh orang yang ditetapkan bagi memastikan kawasan korekan selamat termasuk keperluan pemasangan peralatan pelindungan terhadap gelinciran tanah.
Dalam kejadian pada 2 November lalu tiga pekerja maut tertimbus dalam pembinaan di RC Culvert No. 6, CH2541, Projek Jalan Kampung Joh ke Kampung Kuala Sat, Machang.
Kemalangan berlaku ketika tiga pekerja warga asing itu berada di dalam kawasan korekan sedang melakukan aktiviti kerja meratakan pasir di dasar korekan dan meletak plastik di tapak sebelum kerja konkrit dimulakan, sementara tiga lagi pekerja telah naik untuk berehat.

Mengikut maklumat, tebing tanah yang berada di kawasan di mana tiga orang pekerja yang masih berada di dalam korekan telah runtuh dan menimbus mereka.
IMedikel TV






