Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SABAH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di beberapa daerah di negeri itu bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman rasmi JIM Sabah, operasi dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.
“Bermula 26 September hingga Khamis lalu, JIM Sabah melaksanakan kira-kira 12 operasi penguatkuasaan di pelbagai lokasi strategik di beberapa daerah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 288 individu, seramai 82 PATI ditangkap dan ditahan.
“Daripada jumlah itu, 43 warga Filipina ditahan membabitkan 21 lelaki dewasa, 14 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan,” kata JIM.
Sementara itu, warga Indonesia yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
“JIM Sabah turut menahan 24 lelaki dewasa warga Pakistan,” menurut JIM.
Menurut kenyataan, jabatan itu memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh dilaporkan kepada JIM Sabah melalui saluran rasmi, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO).
IMedikel TV






