Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menasihatkan semua pelajar dan guru supaya menjaga kesihatan serta mengelakkan aktiviti di kawasan terbuka susulan keadaan jerebu walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri ini masih berada di bawah paras 100.
Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu sentiasa menyemak bacaan IPU bagi memastikan langkah berjaga-jaga dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara.
“Bacaan IPU Kelantan ketika ini berada pada lingkungan 80 hingga 90, namun keadaan jerebu masih boleh menjejaskan kesihatan, khususnya individu yang menghidap asma.
“Saya menasihatkan semua pelajar dan guru supaya menjaga kesihatan serta diri masing-masing. Jangan berada di tempat terbuka kerana bagi mereka yang menghidap asma, keadaan ini boleh mencetuskan serangan asma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan 2026 di perkarangan AEON Mall, di sini, semalam.
Siti Norina berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa termasuk menyemak bacaan IPU setiap pagi bagi memastikan keselamatan warga sekolah terus terpelihara.
Katanya, JPN Kelantan juga bersedia mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa serta arahan pihak berkuasa berkaitan.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik peningkatan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2027 yang disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan sektor pendidikan negara.
Menurutnya, pendidikan adalah nadi negara dan peruntukan besar itu diharap dapat memberikan manfaat kepada semua golongan pelajar, termasuk murid berkeperluan pendidikan khas serta pelajar Orang Asli.
Katanya, pelajar Orang Asli di Kelantan turut diberikan perhatian khusus bagi memastikan mereka memperoleh peluang pendidikan dan masa depan yang lebih baik.
“Kita mahu anak-anak di kawasan pedalaman juga berjaya sebagaimana anak-anak di tempat lain. Masa depan mereka sangat penting,” katanya.
Dalam Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2027, iaitu sebanyak RM69 bilion.
IMedikel TV






