Home Hiburan BAKAT SAHAJA TAK CUKUP – NADEERA DEDAH REALITI INDUSTRI SENI

BAKAT SAHAJA TAK CUKUP – NADEERA DEDAH REALITI INDUSTRI SENI

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini, mengakui rupa paras dan ciri fizikal turut menjadi antara perkara yang dinilai dalam industri seni, selain bakat, termasuk kemampuan vokal.

Memetik laporan Berita Harian, Nadeera, 33, berkata, perkara itu bukan sekadar tanggapan kerana beliau sendiri pernah berdepan situasi dinilai berdasarkan penampilan fizikal sepanjang membina kerjaya sebagai anak seni.

Katanya, walaupun bakat sepatutnya menjadi keutamaan, realiti industri hiburan menuntut seseorang artis berdepan penilaian daripada pelbagai sudut.

“Sejujurnya, berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya pun pernah dinilai berdasarkan ciri fizikal dan rupa. Secara peribadi, saya kena akui dalam industri seni ini, orang bukan mahu dengar bakat kita semata-mata, tetapi mereka juga melihat daripada segi fizikal,” katanya kepada BH Online.

Mengulas sama ada aspek fizikal sama penting dengan bakat, terutama vokal, penyanyi kelahiran Mersing, Johor, itu menegaskan kemampuan menyanyi tetap menjadi perkara paling utama.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan penampilan fizikal turut mendapat perhatian, sekali gus mendorongnya berusaha melakukan yang terbaik untuk diri sendiri.

Sementara itu, Nadeera menjelaskan tindakannya menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan bukan kerana tidak mampu menyanyikan bahagian lagu berkenaan, sebaliknya didorong rasa teruja melihat mereka turut menyanyikan karyanya.

Katanya, pengalaman melihat peminat menyanyi bersama ketika persembahan memenuhi impian yang pernah disimpan sebelum namanya dikenali ramai.

“Sebelum dikenali, saya pernah berdoa sangat supaya orang menyanyikan lagu saya dan boleh menyanyi bersama ketika saya membuat persembahan.

“Jadi, apabila saya lihat peminat menyanyi sama-sama, saya jadi terlalu teruja. Sebab itu setiap kali membuat persembahan, saya hulurkan mikrofon.

“Bukan sebab saya tidak boleh menyanyikan bahagian itu, cuma saya terlalu teruja sampai ada masa saya terlupa orang bayar kita untuk menyanyi,” katanya.

Mengulas teguran dan kritikan netizen terhadap tindakannya itu, Nadeera berkata, beliau menghargai pandangan peminat walaupun ada kalanya cara teguran yang disampaikan menimbulkan rasa geram.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak membalas komen negatif, sebaliknya melihatnya dari sudut positif dan menganggap perhatian yang diberikan menunjukkan peminat mengikuti perkembangan kerjayanya.

“Apabila difikirkan semula, kalau orang tidak bercakap mengenai saya, mungkin saya tidak tahu sebenarnya mereka ambil berat. Jadi, saya anggap mereka sebenarnya sayangkan saya,” katanya.

Nadeera turut menegaskan tidak pernah terfikir untuk menyekat pengguna media sosial yang mengkritiknya kerana sudah bersedia berdepan pelbagai reaksi sejak awal menceburi bidang seni.

Baginya, kritikan dan kecaman merupakan sebahagian daripada kehidupan, justeru beliau tidak mahu terlalu mengambil hati sehingga menjejaskan tumpuan terhadap kerjaya.

Malah, Nadeera menganggap pengalaman berdepan kecaman menjadikannya lebih kuat dan matang dalam mengendalikan perjalanan seninya.

“Terima kasih sebab ambil berat. Walaupun ada masanya rasa geram juga, kecaman sebenarnya menjadikan saya lebih kuat. Sampai satu tahap, saya boleh gelak sahaja dengan apa yang mereka katakan.

“Bagi saya, selagi perkara itu boleh membuatkan saya menjadi lebih baik dan lebih matang dalam mengendalikan kerjaya, saya terima.

“Saya cuma mahu terus bekerja keras dan buktikan kemampuan melalui apa yang saya lakukan,” katanya.

Nama Nadeera melonjak selepas lagu Bukan Lagi Kita meraih lebih 100 juta tontonan di YouTube, sekali gus menjadi antara pencapaian penting selepas lebih sedekad membina kerjaya dalam industri muzik tanah air. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here