Home Sukan BARCELONA KEKAL SEMPURNA, REAL MENANG TIPIS

BARCELONA KEKAL SEMPURNA, REAL MENANG TIPIS

BARCELONA: Barcelona meneruskan permulaan sempurna dalam saingan LaLiga selepas menewaskan Getafe 3-0 di laman sendiri, semalam, sebelum Real Madrid menundukkan Villarreal 1-0 meskipun Vinicius Jr dilayangkan kad merah.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kemenangan itu menyaksikan Barcelona kendalian Hansi Flick meraih lapan kemenangan berturut-turut dan mengekalkan kelebihan lima mata di puncak liga mengatasi Atletico Madrid, yang menewaskan Alaves 2-1 menerusi jaringan lewat Cristian Romero.

Real Madrid kekal di tangga ketiga dengan 18 mata, ketinggalan enam mata di belakang seteru utama mereka. Namun, kemenangan tipis itu belum menunjukkan peningkatan konsisten dalam prestasi skuad kendalian Jose Mourinho.

Rehat antarabangsa selama tiga minggu tidak menjejaskan rentak Barcelona apabila mereka membuka jaringan seawal minit kedua. Anthony Gordon melakukan gerakan memotong ke dalam sebelum rembatannya terkena pemain tengah Getafe, Mario Martin, lalu menerjah gawang yang dikawal David Soria.

Getafe sukar keluar dari kawasan sendiri akibat tekanan berterusan tuan rumah. Gabriel Jesus kemudian menghukum kesilapan Zaid Romero untuk meledak gol kedua Barcelona pada minit ke-30, sekali gus menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya sebagai pemain kesebelasan utama kelab itu.

Barcelona terus menguasai permainan selepas rehat, manakala Getafe hanya sekali menguji penjaga gol Joan Garcia yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.

Jules Kounde, yang mensia-siakan peluang keemasan pada babak pertama, melengkapkan kemenangan Barcelona menerusi penyudah mudah pada minit ke-73 hasil hantaran lencong Lamine Yamal.

Real Madrid mempunyai peluang lebih baik pada babak pertama ketika menentang Villarreal, namun percubaan Kylian Mbappe pada minit ketujuh sekadar menggegar tiang gol.

Bagaimanapun, Real masih gagal mempamerkan permainan meyakinkan ketika menguasai bola, manakala kedua-dua pasukan sukar mengawal rentak perlawanan. Villarreal turut bergelut menghasilkan hantaran tepat dan peluang jaringan agak terhad.

Tempo permainan meningkat pada babak kedua sebelum Yan Diomande muncul wira Real menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-63. Penyerang Ivory Coast itu melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang, sekali gus mencatat gol pertamanya untuk Real sejak menyertai kelab itu pada Ogos.

Vinicius, yang kelihatan kecewa ketika menyaksikan pemain berusia 19 tahun itu beraksi di posisi sayap kiri kegemarannya dari bangku simpanan pada babak pertama, tampil lebih menyerlah selepas dimasukkan pada minit ke-52 bagi menggantikan pemain sayap pertahanan, Trent Alexander-Arnold.

Lapan minit selepas gol pembukaan, Vinicius menyangka dia sudah menjaringkan gol kedua Real, malah Mourinho berlari ke garisan gol untuk meraikan jaringan pemain gantian itu.

Bagaimanapun, selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), gol berkenaan dibatalkan dan Vinicius dilayangkan kad merah kerana menarik rambut pemain gantian Villarreal, Nathan Saliba, ketika gerakan itu bermula.

Perlawanan terbuka menyusul dengan penjaga gol Villarreal, Peter Gulacsi, dan penjaga gol Real, Thibaut Courtois, masing-masing melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang.

Pada penghujung perlawanan, Villarreal gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain untuk memecahkan benteng Real yang beraksi dengan 10 pemain.

Reaksi keras Mourinho dan pemainnya terhadap keputusan melayangkan kad merah kepada Vinicius menyemarakkan semangat pertahanan Real. Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mengekalkan gawang daripada dibolosi.

Mourinho tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan, tanpa sebarang alasan diberikan oleh kelab. Pengendali dari Portugal itu kini mula membuat persiapan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang AS Roma sambil berusaha mencari corak permainan yang lebih konsisten.

Atletico Madrid membuka jaringan menentang Alaves menerusi Alejandro Grimaldo selepas gerakan kombinasi menarik bersama Jonathan David, sebelum Lucas Boye menyamakan kedudukan untuk tuan rumah menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Alaves terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Angel Perez dilayangkan kad merah pada minit ke-61. Tekanan Atletico akhirnya membuahkan hasil tiga minit sebelum tamat permainan apabila pertahanan tengah, Romero, menyempurnakan hantaran bijak Alex Baena untuk memastikan kemenangan 2-1.

Sementara itu, perlawanan Rayo Vallecano menentang Athletic Club di gelanggang sendiri terpaksa dihentikan susulan bantahan penyokong di Stadium Vallecas. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here