ISTANBUL: Sekurang-kurang 12 maut, manakala 309 lagi cedera dalam insiden serangan di lapangan terbang utama di ibu negara Arab Saudi, semalam, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa penerbangan awam.
Memetik laporan Anadolu menerusi Berita Harian, pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan bahawa empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin serta Sudan terkorban dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid itu.
Menurut pihak berkuasa itu, mangsa cedera pula sedang menerima rawatan di hospital, dengan beberapa daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Serangan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda. Pihak berkuasa masih menjalankan penilaian terhadap kerosakan itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan bahawa operasi lapangan terbang itu digantung sementara susulan serangan di Riyadh, bagi membolehkan pegawai menilai kerosakan dan mengesahkan tahap keselamatan kemudahan lapangan terbang berkenaan.
Penggantungan operasi itu menyebabkan gangguan penerbangan, dengan penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.
Kuwait Airways turut membatalkan penerbangan pergi dan balik Riyadh, semalam, susulan penutupan lapangan terbang itu.
Serangan berkenaan berlaku ketika ketegangan semakin meningkat susulan beberapa siri serangan misil dan dron oleh kumpulan Houthi terhadap lapangan terbang serta kemudahan di Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –
IMedikel TV






