Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kelantan menyambut baik Belanjawan 2027 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu khususnya beberapa peruntukan berkaitan dengan pembangunan negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan projek pembangunan yang mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat Kelantan.
“Antara yang terdapat dalam senarai keutamaan negeri Kelantan ialah Empangan Lebir yang boleh menyelesaikan 80 peratus masalah banjir di negeri ini apabila siap kelak, insya-Allah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pembangunan Terminal Kota Bharu turut menjadi antara projek utama bagi melengkapkan sistem logistik dan pengangkutan awam bersepadu di negeri ini.
Katanya, terminal berkenaan dirancang dibina bersebelahan Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kota Bharu bagi membolehkan pergerakan penumpang antara perkhidmatan rel dan pengangkutan darat dilakukan dengan lebih lancar.
Menurutnya, kemudahan itu bakal menghubungkan perkhidmatan ECRL dengan pengangkutan lain termasuk bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan e-hailing.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan tanah seluas 2.02 hektar bagi pembangunan terminal berkenaan, manakala urusan berkaitan tanah masih dalam proses.
“Kerajaan negeri telah menyediakan tanah seluas 2.02 hektar di kawasan berkenaan. Urusan tanah ketika ini masih dalam proses dan kita berharap projek itu dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri akan memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat berjalan lancar.
Beliau turut menyifatkan pengumuman kerajaan mengenai pembangunan untuk Kelantan sebagai perkembangan positif, selain berharap projek yang dirancang dapat memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
IMedikel TV






