Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian memaklumkan bahawa negaranya bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat Israel menghentikan serangan terhadap wilayah Palestin dan Iran.
Perkara itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perbualan telefon susulan perkembangan terkini konflik antara Iran dan rejim Zionis Israel.
“Presiden Masoud turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” kata Anwar dalam satu hantaran Facebook semalam.
Menurut beliau, Malaysia secara konsisten mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap Gaza dan Iran yang telah meragut nyawa rakyat awam termasuk kepemimpinan tertinggi ketenteraan dan para saintis.
“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan Malaysia tetap berpegang kepada prinsip bahawa keganasan bukan jalan penyelesaian, namun mengiktiraf hak mana-mana negara termasuk Iran untuk mempertahankan kedaulatannya.
“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak termasuk Amerika Syarikat dan Israel, selagi syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
“Malaysia percaya hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai, sekali gus mengelak pertembungan yang berpanjangan,” katanya.
IMedikel TV






