ISTANBUL: Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) pada Ahad supaya menetapkan garis masa bagi pengunduran “tanpa syarat” Israel dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, selaras dengan memorandum persefahaman penamatan perang yang dimeterai antara Tehran dan Washington, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sebuah akhbar tempatan.
“Penamatan perang dan operasi ketenteraan rejim Zionis terhadap Lubnan, serta pengunduran pihak yang menduduki dari semua wilayah Lubnan yang diduduki, menjadi syarat penting untuk mencapai perjanjian muktamad dan berkekalan bagi mewujudkan kestabilan di rantau ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Bagaei pada sidang media yang dipetik Agensi Berita ISNA.
Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, Bagaei berkata, Tehran menganggap pemeliharaan kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, selain “maruah dan keselamatan seluruh rakyat Lubnan”, sebagai elemen penting bagi memastikan ketahanan mana-mana perjanjian berkaitan penamatan perang dengan AS.
Iran meletakkan “penamatan perang dan operasi ketenteraan rejim Zionis di Lubnan seiring dengan penamatan perang terhadap Iran” sebagai tuntutan utama dalam persefahaman gencatan senjata pada April serta memorandum bertarikh 18 Jun, katanya.
Bagaei turut berkata, Iran menjangkakan Washington memenuhi komitmennya di bawah memorandum itu dan “mengambil semua langkah yang perlu untuk memaksa rejim Zionis menghentikan sebarang pencerobohan dan operasi ketenteraan terhadap semua wilayah Lubnan”.
Beliau berkata, Tehran menggesa “garis masa bagi pengunduran tanpa syarat dari wilayah Lubnan yang diduduki ditetapkan dengan segera.”
Gesaan itu dibuat ketika Iran dan AS meneruskan usaha melaksanakan persefahaman yang lebih luas merangkumi 14 perkara yang dicapai susulan beberapa minggu ketegangan ketenteraan serantau serta rundingan diplomatik.-Bernama-Anadolu, HMetro Online-
IMedikel TV






