ISTANBUL: Perancis merekodkan lebih 1,000 kematian sejak 24 Jun apabila gelombang haba luar biasa melanda sebahagian besar negara itu, menurut angka awal yang dikeluarkan pada Ahad oleh agensi kesihatan awam negara, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.
Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro, Pejabat Kesihatan Awam Perancis memaklumkan data berkenaan, yang masih bersifat sementara, menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kematian sepanjang tempoh gelombang haba, dengan majoriti kematian berlebihan membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas.
Agensi itu turut melaporkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam jumlah kematian yang berlaku di rumah.
Menteri Kesihatan Perancis Stephanie Rist sebelum ini memberi amaran bahawa kesan kesihatan akibat gelombang haba masih belum berakhir walaupun suhu mula menurun di banyak wilayah.
Beliau berkata, negara itu kini mencatatkan “jumlah kematian yang lebih tinggi daripada kebiasaan”, menurut penyiar Perancis BFMTV.
Sementara itu, perkhidmatan perubatan kecemasan Paris (SAMU) melaporkan 80 kematian pada Sabtu, termasuk 30 kes jantung terhenti, berbanding 109 kematian pada Jumaat.
Pihak berkuasa menjelaskan yang angka itu hanya meliputi kes yang dikendalikan oleh perkhidmatan kecemasan Paris dan tidak mewakili jumlah keseluruhan kematian di ibu negara itu.
Kematian berlebihan itu berlaku selepas 11 hari berturut-turut ketika cuaca panas melampau melanda sebahagian besar Perancis.
Walaupun suhu mula menurun di beberapa wilayah pada Ahad susulan ribut petir yang kuat, hospital masih berdepan tekanan akibat peningkatan kes penyakit berkaitan haba serta komplikasi perubatan yang muncul lewat.
Walaupun keadaan cuaca semakin sejuk, Meteo-France masih mengekalkan amaran gelombang haba tahap jingga bagi 22 jabatan pada Isnin, termasuk Paris dan kawasan sekitarnya, serta beberapa bahagian di tenggara dan timur Perancis.Bernama-Anadolu, HMetro Online-
IMedikel TV






