Home Hiburan IQRAM DINZLY PENAT LAYAN SANDIWARA PRODUKSI

IQRAM DINZLY PENAT LAYAN SANDIWARA PRODUKSI

PUTRAJAYA: Pelakon Iqram Dinzly, 45, membuat keputusan memberi peluang kepada bakat baharu di kalangan Generasi Z untuk aktif terbabit dalam karier seni terutama mewarnai bidang lakonan.

Memetik laporan Harian Metro, Iqram atau nama sebenar Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, dia ada juga mendapat tawaran berlakon tetapi berasa sudah tidak sesuai untuk diterima dari segi bayaran.

“Bidang lakonan (sebagai Iqram Dinzly), saya rasa biarlah bagi peluang kepada generasi-generasi baharu sekarang yang masih muda. Ini kerana, saya tengok semakin ramai Generasi Z dan Alpha yang berbakat macam Aedy Ashraf, Amir Ahnaf.

“Jadi, saya pun nampak hala tuju pelakon bakat muda ini hendak pergi ke mana dalam industri dan mereka bagus. Jadi, saya rasa kehadiran mereka akan lebih menghiasi bidang lakonan dan biarlah mewarnai kacamata penonton Malaysia,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui semalam.

Berbicara lanjut mengenai tawaran lakonan, Iqram yang sudah menjenamakan diri sebagai IQ Dinzly berkata tawaran ada diterimanya tetapi menyifatkan umpama ‘melepas batuk di tangga’. 

“Tawaran (berlakon) ada, tetapi ibarat macam ‘melepas batuk di tangga’, dan satu lagi baru-baru ini ada ‘offer’ drama, tetapi harga diberi untuk satu episod ‘kutip-kutip scene’ adalah mengikut apa yang mereka nak.

“Jadi, kemudian saya difitnah pula di belakang kononnya menolak (tawaran itu). Jadi, saya rasa cukuplah dengan sandiwara-sandiwara daripada pihak produksi sebab pening kepala nak layan benda-benda macam ini.

“Tetapi, sekiranya ada dapat tawaran lagi selepas ini biar guna nama IQ Dinzly sahaja dan bukannya Iqram Dinzly. Sebab saya rasa kalau guna nama sebagai Iqram Dinzly bukanlah kata nak harga (bayaran) pakej mahal tetapi biar setimpal.

“Sebab saya rasa pengorbanan selama 16 tahun dalam industri ini terutama lakonan dengan macam-macam pancaroba sampai boleh jadi sakit, masa tidak cukup rehatnya dan drama ‘membawang’ penggiat seni, maka cukuplah.

“Sebenarnya netizen pun ramai dalam industri. Jadi benda itu bukanlah nak kata saya ini baik sangat, tidak. Cuma, bila diberikan oleh Allah kepada saya untuk rehat dan keluar daripada lingkungan, berilah peluang itu kepada generasi muda,” katanya.

Mengakui dia juga bukan hendak ‘melarikan diri’ daripada industri, bagaimanapun tidak mungkin akan ‘comeback’ (kemunculan semula) dengan nama Iqram Dinzly itu yang sudah agak lama dibina.

Jelas lelaki asal Perak ini lagi, apapun dia gembira dengan kehidupannya sekarang dan lebih memberi fokus kepada bidang perniagaan yang diceburi untuk terus menyara kelangsungan hidup di ibu kota.

Iqram Dinzly yang aktif berlakon pada 2003 pernah membintangi filem Jutawan Fakir, 1957: Hati Malaya, Dunia Baru The Movie, Evolusi KL Drift, Sifu & Tongga, 2 Hati, Satu Jiwa, Rasuk, Apokalips X, Lagenda Budak Setan 3, Korsakoff dan Zim Zim Ala Kazim.

Bagi drama pula seperti Puteri, Janji Diana, Mentari Jingga, Dua Hati, Dunia Baru, Cinta Medik, Mat Burger, Izinku Pergi, Cinta Bulan Dan Mentari, Bukan Yang Pertama, Ayah, Graduan dan banyak lagi.

Bagaimanapun sejak 2023 lalu, Iqram Dinzly difahamkan tampil menjenamakan semula dirinya dalam bidang lakonan untuk dikenali sebagai IQ Dinzly sampai sekarang. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here