KUALA LUMPUR: Kekalahan kepada New Zealand pada saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Cape Town semalam dilihat sebagai pengajaran berguna buat Speedy Tigers dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih besar di Piala Dunia dan Sukan Asia.
Memetik laporan Berita Harian, ketua jurulatih negara, Brendon Carolan mengakui pasukannya masih belum mencapai tahap permainan diinginkan dan perlu segera memperbaiki pelbagai aspek jika mahu bersaing dengan lebih baik pada kejohanan utama akan datang.
Menurutnya, skuad negara memulakan perlawanan dengan baik namun dihukum oleh beberapa kesilapan mudah yang menyaksikan mereka melepaskan gol dan pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya.
“Kami perlu bermain dengan lebih baik. Kami perlu mencapai tahap yang lebih tinggi daripada apa yang ditunjukkan sekarang.
“Sudah tentu saya kecewa kerana kami melepaskan gol mudah dan memberikan pukulan sudut penalti yang mudah kepada lawan,” katanya.
Malaysia tewas 1-5 kepada New Zealand sekali gus mengesahkan kegagalan skuad negara mara ke separuh akhir kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun, Carolan enggan terlalu memikirkan kekecewaan itu dan mahu pasukannya terus menjadikan setiap perlawanan sebagai proses pembelajaran ke arah sasaran yang lebih besar.
Katanya, fokus utama Speedy Tigers kekal untuk berada pada prestasi terbaik menjelang Sukan Asia yang bakal berlangsung dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.
“Bagi kami, matlamat utama adalah untuk menjadi lebih baik menjelang Sukan Asia. Itu tidak berubah dan itulah sasaran utama kami.
“Kami mahu memastikan pasukan ini berada pada tahap terbaik apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Menurut Carolan, pengalaman di Afrika Selatan juga penting sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia selain membantu mempercepat proses pembangunan pasukan.
“Kami mahu menjadi lebih baik dalam siri di Afrika Selatan ini, memiliki kempen Piala Dunia yang lebih baik dan memastikan pasukan menjadi lebih kuat menjelang Sukan Asia,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






