JAKARTA: Kerajaan Indonesia melalui Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) menafikan
dakwaan berhubung jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Indonesia melintasi
Malaysia.
Memetik laporan BERNAMA menerusi Harian Metro, Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya
Bakar, menyatakan bahawa aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat melalui
kenyataan rasmi di Jakarta.
“Kami sudah memantau keadaan, dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” kata
Menteri Siti Nurbaya.
Mengenai imej jerebu merentasi sempadan, kementeriannya menerima laporan imej taburan jerebu
daripada Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) dan Pusat Meteorologi Khas ASEAN
(ASMC) bagi tempoh dari 28 hingga 30 September 2023, sehingga petang semalam pada 4 petang
(Waktu Indonesia Barat).
Menurutnya, tiada jerebu dari Indonesia yang melintasi sempadan Malaysia. Jerebu berada pada
tahap sederhana hingga pekat di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan. Tiada jerebu
rentas sempadan yang diperhatikan.
ASMC ialah program kerjasama serantau dalam kalangan Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan
(NMS) negara anggota Asean. ASMC beroperasi di bawah Perkhidmatan Meteorologi Singapura.
Sementara itu, berdasarkan pemerhatian satelit BMKG, imej taburan jerebu di wilayah Indonesia
sepanjang tiga hari itu menunjukkan jerebu dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan
Kalimantan. Arah angin lazim di Indonesia biasanya dari tenggara ke barat laut dan timur laut dan
tiada jerebu rentas sempadan dikesan.
“Jadi jelas, kedua-dua sumber mengesahkan tiada jerebu rentas sempadan,” kata Menteri Siti
Nurbaya-AGENSI HARIAN METRO ONLINE-
Imedikel TV






