RIYADH: Seorang Menteri Israel tiba di Arab Saudi semalam bagi menghadiri persidangan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika kedua-dua negara mempertimbangkan jalinan
hubungan diplomatik.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi, tiba di
Riyadh bagi menghadiri mesyuarat Kesatuan Pos Sejagat, iaitu sebuah agensi khas PBB yang
bertujuan memudahkan kerjasama antarabangsa dalam sektor pos.
Beliau adalah Menteri Israel kedua berada di negara itu dalam masa kurang seminggu.
Menteri Pelancongan Israel, Haim Katz, menjadi menteri pertama Israel yang mengunjungi Arab
Saudi untuk menghadiri acara Pertubuhan Pelancongan Sedunia PBB. Dia dijadualkan memberi
ucapan dan bertemu dengan duta AS di Arab Saudi dan Menteri Komunikasi Turki.
Beliau mengetuai delegasi 14 anggota termasuk Ahli Parlimen David Bitan, yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Ekonomi Knesset (Parlimen Israel) dan wakil Kementerian Luar.
Arab Saudi menolak mengiktiraf Israel tanpa penyelesaian dua negara atas konflik Israel-Palestin
dan pelarian Palestin. Namun, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, sedang berunding dengan
Riyadh untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan bantuan untuk program nuklear awam.
Palestina memberi amaran bahawa mereka mesti diambil kira dalam perjanjian tersebut. Baru-baru
ini, Arab Saudi dan Israel dikatakan bergerak ke arah perjanjian dan akan menghasilkan rangka kerja
asas untuk diteliti bagi menentukan langkah seterusnya.
Komen itu dibuat selepas lawatan ke Riyadh oleh Menteri Pelancongan Israel, Haim Katz, yang
menghadiri acara Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB, sekali gus menjadi menteri Israel pertama
yang mengetuai delegasi rasmi ke kerajaan itu. – AFP AGENSI BERITA HARIAN ONLINE-
Imedikel TV






