Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel menawarkan pakej “biz boost” kepada pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa untuk mengeluarkan produk jenama sendiri terutama dalam bidang nutraseutikal di bawah IMedikel.
Timbalan Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria berkata, tawaran berharga serendah RM5,000 itu, merangkumi keseluruhan proses pembangunan produk termasuk pembungkusan, analisis makmal dan keperluan lain.

“Pelajar yang terpilih atau berminat untuk membuat produk akan mendapat produk yang sudah tersedia untuk dipasarkan.
“Kami menyediakan pelbagai pilihan dan sekiranya ada dalam kalangan pelajar berminat untuk membuat produk jenama sendiri adalah bergantung kepada minat seseorang serta kita perlu tengok pada pola perubahan dalam pasaran masa terkini,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di Program Wellness Entrepreneurial 2025, di UMK Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Jelasnya, pelajar diberi kouta seramai 20 orang untuk merebut peluang itu namun mereka perlu melalui proses beberapa tapisan terlebih dahulu.
“Kita ingin sediakan titik permulaan kepada pelajar yang tidak tahu bagaimana untuk bermula dan dari sini mereka boleh bermula,” katanya.
Sementara itu, menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK), Dr. Ahmad Fahme Mohd Ali, program itu bertujuan mendekatkan pelajar terhadap aktiviti keusahawan dan mendedahkan pengetahuan perniagaan kepada mereka.

“Program hari ini kita fokus kepada industri keusahawan yang menjual produk-produk berbentuk kesihatan dan penjagaan.
“IMedikel boleh membantu universiti dari sudut menjadikan idea produk kepada realiti serta barang boleh dijual dan diletakkan dalam pasaran,” katanya.
Katanya, seramai 300 pelajar daripada FHPK menyertai program tersebut.

Hadir sama, Presiden IMedikel Yusmat Mamat dan Dekan FHPK Profesor Madya Dr. Mohd Fadil Mohd Yusof.
IMedikel TV






