Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Cubaan menyeludup lebih 1,200 paket minyak masak ke Thailand berjaya dipatahkan dalam satu serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Op Bersepadu di sini, pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata operasi dijalankan sekitar jam 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Banggol Ara, hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota, suspek melarikan diri dan meninggalkan dua buah kenderaan berhampiran rumah tersebut.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 1,258 paket minyak masak yang disyaki akan diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan.
Nik Ros Azhan berkata nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM33,000, termasuk dua buah kenderaan yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan semua barangan rampasan diserahkan kepada KPDN Kelantan untuk tindakan lanjut.
PGA akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan ini dapat dibanteras secara berterusan.
IMedikel






