Home Buletin Semasa IBU BAPA BIMBANG PENINGKATAN SALAH LAKU JENAYAH DI SEKOLAH

IBU BAPA BIMBANG PENINGKATAN SALAH LAKU JENAYAH DI SEKOLAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Peningkatan kes salah laku jenayah dalam kalangan pelajar sekolah menimbulkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan serta masa depan anak-anak mereka di sekolah.

Mereka berpendapat, pelbagai insiden membabitkan pelajar membawa senjata tajam, bergaduh, buli serta tingkah laku ganas menunjukkan gejala disiplin di sekolah kini semakin membimbangkan.

Bagi ibu kepada empat anak, Nurul Erini Musa, 41, dari Bachok berpendapat keadaan itu kemungkinan berpunca daripada sistem pendidikan sedia ada yang terlalu membataskan kuasa guru dalam mendidik dan mengawal disiplin murid.

“Sebagai seorang ibu, kejadian seperti itu sangat membimbangkan. Bukan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi seperti yang kita tahu sekarang guru sudah tidak boleh marah, tidak dibenarkan merotan, tidak boleh menegur secara berlebihan kerana bimbang mengganggu emosi murid. Kalau berbuat demikian dikhuatiri guru pula yang dikenakan tindakan,” katanya.

Menurutnya, perubahan peraturan itu menyebabkan ada dalam kalangan guru hanya datang ke sekolah untuk mengajar mengikut silibus, tanpa dapat memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah pelajar.

“Kalau zaman saya dahulu, ibu bapa serah kepada guru untuk marah atau rotan anak bila perlu. Tetapi sekarang guru jadi takut nak ambil tindakan. Bila anak kurang ajar, guru pula yang dipersalahkan.

“Jadi kita sebagai ibu bapa kena bertindak demi masa depan anak-anak. Kurangkan penggunaan gajet kerana banyak pengaruh negatif jika anak sentiasa bersama gajet.

“Terutama sekali anak-anak yang suka bermain permainan video, Tiktok, Facebook dan lain-lain menyebabkan mereka ketagihan, jadi kita sebagai ibu bapa perlu memantau anak-anak dari rumah.

“Untuk anak-anak saya memang saya hanya benarkan mereka menggunakan telefon saya untuk buat kerja sekolah,”jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi ibu, Nur ’Azyyati Aziz, 41, dari Pasir Puteh turut berkongsi kebimbangan terhadap peningkatan gejala negatif dalam kalangan pelajar dan menegaskan peranan ibu bapa kini amat penting dalam membentuk disiplin anak-anak.

“Kalau boleh, jangan bagi anak-anak bawa telefon bimbit ke sekolah. Saya sendiri pun melarang anak-anak menggunakan telefon bimbit dengan alasa untuk menyiapkan kerja sekolah.

“Sebab dari situ macam-macam benda mereka boleh tonton dan layari,”katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar tidak leka dan perlu memantau aktiviti harian anak termasuk memeriksa beg sekolah serta mengehadkan penggunaan gajet.

“Kita kena tegas dengan anak-anak. Kalau perlu marah kita marah. Bila masa tenang, kita duduk sekali dengan anak supaya mereka tahu kita ambil berat. Selagi urusan anak tak selesai, saya tidak keluar rumah,”katanya.

Kedua-dua ibu itu sependapat bahawa usaha membendung salah laku pelajar memerlukan kerjasama erat antara sekolah dan keluarga, bukan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pendidik.

Kebimbangan ibu bapa ini mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh semula nilai disiplin dan akhlak di sekolah, sekali gus memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membentuk sahsiah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here