Home Buletin Semasa HARI BEKERJA HIBRID JADI NORMA BAHARU PERKHIDMATAN AWAM MULAI 1 OGOS

HARI BEKERJA HIBRID JADI NORMA BAHARU PERKHIDMATAN AWAM MULAI 1 OGOS

49
0

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam siaran media hari ini memaklumkan, HBH merupakan inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja.

“Melalui HBH, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.

“Bagi negeri yang Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada hari Ahad, hari Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat.

“Bagi negeri yang Hari Kelepasan Mingguan (HKM) pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari Ahad dan Khamis ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat,” menurut siaran media itu.

Menurut JPA, pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kerajaan kepada rakyat.

“Perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa.

“Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah,” katanya.

Jelas siaran media itu, inisiatif HBH merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan Perkhidmatan Awam melalui amalan kerja yang berorientasikan hasil serta memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan bagi memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

Menurut JPA, kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

“Pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.

“Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat,” jelas siaran media itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here