PUCHONG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 32 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara di sini pada Khamis.
Operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut menggunakan teknologi dron sebagai aset sokongan bagi memantau pergerakan serta mengesan laluan dan lokasi persembunyian warga asing yang cuba meloloskan diri.
“Operasi bermula kira-kira jam 12 tengah hari melibatkan 46 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama tujuh pegawai KPDN Putrajaya.
“Pemeriksaan tertumpu di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara bagi mengesan dan menahan warga asing yang terus berada di negara ini tanpa dokumen yang sah serta melanggar syarat pas yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, beberapa warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi.
“Bagaimanapun, menerusi pemantauan udara menggunakan dron, pergerakan mereka berjaya dikesan sebelum tindakan segera diambil oleh pasukan operasi bagi menghalang cubaan meloloskan diri,” katanya.
Hasil pemeriksaan terhadap 18 premis perniagaan dan 117 individu, seramai 32 warga asing ditahan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada warganegara Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan yang berusia antara 22 hingga 43 tahun.
“Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas kenyataan itu.
Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan empat Borang 29 saman terhadap warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.
Sementara itu, KPDN mengeluarkan tiga tindakan kompaun KOTS berjumlah RM600 kepada pemilik premis di bawah Akta Antipencatutan 2011.
“Semua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau menyalahgunakan pas di negara ini.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
IMedikel TV






