Home Buletin Semasa JAWATANKUASA BERSAMA MENTERI TELITI SYOR PAC, PERKUKUH PELAKSANAAN STRATEGI RESET

JAWATANKUASA BERSAMA MENTERI TELITI SYOR PAC, PERKUKUH PELAKSANAAN STRATEGI RESET

26
0

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan meneliti setiap syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan di bawah Strategi RESET ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta yang lebih mampu milik dan mampan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, jawatankuasa berkenaan mengambil maklum laporan yang dikeluarkan PAC berhubung usaha menangani kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta.

Menurut kenyataan itu, cadangan yang dikemukakan oleh PAC secara umumnya selaras dengan hala tuju Strategi RESET serta mengukuhkan keperluan untuk mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan.

“JBMKKS akan meneliti setiap syor yang dikemukakan dan memberikan pertimbangan sewajarnya dalam memperkukuh serta mempercepat pelaksanaan pembaharuan yang sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan, sejak pelancaran Strategi RESET, pelbagai usaha telah digerakkan secara bersama melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia serta pihak berkepentingan utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan dan insurans.

Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menangani faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan, termasuk faktor jangka pendek dan faktor struktur yang mencetuskan inflasi kos perubatan, di samping memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti dan mampu milik.

KKM berkata, antara kemajuan yang telah dicapai di bawah Strategi RESET ialah pelan asas Malaysia Health Insurance and Takaful (MHIT) yang dijangka memasuki fasa pelaksanaan rintis menjelang akhir Julai.

Selain itu, beberapa inisiatif utama turut dilaksanakan secara berperingkat, termasuk penggunaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) sebagai mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan kesihatan, peningkatan ketelusan harga dan faktor pendorong inflasi perubatan, pengukuhan standard data serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian.

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara pembuat dasar, pengawal selia, pembayar serta penyedia perkhidmatan kesihatan dalam menjayakan reformasi sektor penjagaan kesihatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, JBMKKS menegaskan semua pihak yang terlibat kekal komited memastikan pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual dan mencapai hasil yang nyata kepada rakyat.

“Matlamat utama usaha ini adalah untuk menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta lebih telus, lebih mampu milik dan mampan demi manfaat semua rakyat Malaysia.

“JBMKKS akan terus memantau perkembangan pelaksanaan secara rapi dan akan memaklumkan perkembangan terkini selepas mesyuarat jawatankuasa yang dijadualkan pada bulan Julai,” jelas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here