Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan diumumkan sebelum tarikh operasi komersial yang dijangka Januari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penetapan tambang memerlukan kajian pasaran, selain perlu melalui proses kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). sebelum tiket boleh dijual kepada orang ramai.
“Kadar tambang akan diumumkan sebelum operasi ECRL dan memerlukan kelulusan daripada APAD..
“Fokus utama kementerian ketika ini adalah memastikan kerja-kerja pembinaan dan pemasangan projek ECRL disiapkan sepenuhnya, sebelum memasuki fasa ujian dan pentauliahan, yang disifatkan sebagai aspek paling kritikal.
“Jika fasa ujian dan pentauliahan tidak berjaya dilaksanakan dengan sempurna, perbincangan mengenai tambang tidak membawa sebarang makna kerana sistem kereta api itu sendiri tidak boleh beroperasi,” katanya.
Sehubungan itu, Loke meminta semua pihak memahami keutamaan yang ditetapkan dan memaklumkan bahawa perkembangan berkaitan projek ECRL akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, projek ECRL akan menerima 11 set tren, dengan setiap set terdiri daripada enam gerabak, bagi perkhidmatan Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu.
“Kesemua set tren itu perlu melalui proses pengintegrasian sistem, termasuk sistem semboyan dan keselamatan, sebelum boleh digunakan sepenuhnya.
Mengulas cadangan untuk menyambung laluan ECRL sehingga ke Rantau Panjang seperti yang dititahkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, beliau berkata perkara tersebut belum dibincangkan lagi.
IMedikel TV






