Home Luar Negara HAMAS KECAM TINDAKAN AS JUAL SENJATA KEPADA ISRAEL

HAMAS KECAM TINDAKAN AS JUAL SENJATA KEPADA ISRAEL

Gaza: Hamas mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata AS$147.5 juta (RM677 juta) bagi senjata dan peralatan berkaitan kepada Israel.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, AS sebelum ini mengumumkan penjualan senjata artileri 155 milimeter (mm) di bawah peruntukan kecemasan yang mengetepikan keperluan biasa untuk semakan Kongres.

Hamas berkata, penjualan itu adalah bukti jelas mengenai penajaan penuh pentadbiran AS terhadap perang jenayah ini.

Hamas dalam satu kenyataan berkata, pentadbiran Presiden Joe Biden menyelaraskan dirinya dengan dan secara aktif menyokong semua kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Menurut kenyataan itu, perang itu membawa kepada pembunuhan kejam terhadap kanak-kanak, wanita, pemindahan paksa penduduk, dan kemusnahan sistematik kehidupan awam di Gaza.

Israel melancarkan kempen ketenteraan yang sengit selepas pejuang Hamas melakukan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel, pada 7 Oktober lalu.

Serangan itu menyebabkan kira-kira 1,140 orang terbunuh di Israel, kebanyakannya orang awam.

Serangan Israel di Gaza sejak itu sudah membunuh sekurang-kurangnya 21,672 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Ketika kematian orang awam meningkat di Gaza, imej AS di peringkat global menjadi buruk kerana sokongan berterusannya untuk Israel.

Awal bulan ini, AS turut menggunakan peruntukan kecemasan yang sama untuk meluluskan penjualan hampir 14,000 peluru kereta kebal 120 mm kepada Israel.

Menurut kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS, Israel meminta fius 155mm, primer dan caj ditambah kepada penjualan tentera asing sebelum ini, meningkatkan jumlah anggaran kos daripada AS$96.51 juta (kira-kira RM438 juta) kepada AS$147.5 juta (kira-kira RM677 juta).

Kenyataan itu juga berkata, setiausaha negara menentukan bahawa wujud kecemasan yang memerlukan penjualan segera kepada kerajaan Israel. – AFP, HMetro Online –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here