Home Hiburan HAFIDZ SYUKUR RAIH PENDAPATAN DI MEDIA SOSIAL, ANGGAP REZEKI ANAK

HAFIDZ SYUKUR RAIH PENDAPATAN DI MEDIA SOSIAL, ANGGAP REZEKI ANAK

SHAH ALAM: Pelakon, Hafidz Roshdi menyifatkan setiap rezeki yang diterimanya ketika ini sebagai berkat daripada tiga anaknya, Umar, Humairah dan bayi bongsu yang baru dilahirkan Februari lalu, Ariana Helena.

Memetik laporan Harian Metro, walaupun belum menerima tawaran lakonan baharu untuk tahun ini, Hafidz berkata pintu rezekinya terus terbuka luas melalui kandungan media sosial dan kerja ulasan produk yang kini menjadi sumber utama pendapatannya.

“Alhamdulillah, saya percaya ini semua rezeki anak-anak. Rezeki Umar, Humairah dan Ariana. Allah mudahkan saya terus ada peluang untuk bekerja walaupun bukan dalam drama buat masa ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hafidz, dia kini lebih banyak menerima tawaran kerja melalui TikTok dan platform digital lain, termasuk ulasan berbayar yang mampu menampung komitmen bulanannya, terutama nafkah anak-anak.

“Saya fokus pada konten TikTok dan media sosial. Banyak juga dapat buat ulasan produk. Saya anggap ia rezeki yang datang daripada anak-anak. Ia membantu saya untuk terus menyara mereka dan membayar segala komitmen sebagai seorang bapa,” katanya.

Walaupun belum menerima sebarang skrip baharu untuk drama tahun ini, Hafidz menegaskan bahawa dia sentiasa terbuka untuk kembali beraksi di set penggambaran jika diberi peluang.

“Tahun lalu, ada juga tawaran lakonan. Tahun ini belum ada lagi. Tapi saya terbuka. Kalau ada rezeki, Insya-Allah saya akan terima,” katanya.

Bercakap mengenai anak bongsunya, Ariana Helena, yang juga hasil perkahwinan dengan Athira Yuhada, Hafidz berkata bayi itu yang kini berusia dua bulan lebih, tidak banyak kerenah dan amat mudah dijaga.

“Ariana lahir 13 Februari. Alhamdulillah, dia sangat senang dijaga. Bangun malam pun cuma nak susu, lepas tu tidur semula. Tak cerewet langsung. Malah, kalau saya keluar bekerja, tinggal dengan mak mentua saya pun dia okay.

“Saya bersyukur sangat. Ketiga-tiga anak saya, Umar, Humairah dan Ariana semuanya baik. Tak susah nak jaga. Alhamdulillah,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here