JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia membenarkan petisyen bagi menghalang kerajaan atau syarikat daripada membuat aduan fitnah terhadap pengkritik.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, petisyen yang difailkan semalam oleh seorang aktivis alam sekitar itu secara langsung membuka ruang kepada perubahan undang-undang terbabit, yang dikatakan disalah guna kerajaan untuk mendakwa pengkritik mereka.
Aktivis hak asasi manusia sebelum ini menyatakan bahawa Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik (UU ITE) menjejaskan kebebasan bersuara di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.
Aktivis alam sekitar, Daniel Frits Maurits Tangkilisan, memfailkan petisyen bagi membatalkan satu artikel dalam undang-undang yang berkaitan dengan fitnah.
Namun, Hakim Arief Hidayat menjelaskan bahawa mahkamah tidak membatalkan artikel itu, sebaliknya melarang ‘kerajaan, syarikat, institusi atau kumpulan beridentiti tertentu’ daripada memfailkan aduan fitnah terhadap individu.
Beliau berkata, hanya individu yang menjadi mangsa fitnah boleh memfailkan aduan dan keputusan itu bertujuan untuk memastikan undang-undang serta mengelak ‘penyalahgunaan kuasa oleh penguat kuasa undang-undang’.
Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi, berkata kerajaan menghormati dan akan mematuhi keputusan mahkamah jika ia memberi kesan kepada dasar kerajaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab termasuk mengemukakan kritikan bersandarkan fakta.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan berkuat kuasa serta-merta dan mempunyai kesan undang-undang yang mengikat.
Peguam Tangkilisan, Todung Mulya Lubis, menyambut baik keputusan itu dan berkata sekiranya kerajaan baik sekalipun, ia tetap memerlukan pengkritik, lapor akhbar Kompas.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid, turut menganggap keputusan itu sebagai perkembangan positif.
“Kita masih boleh berharap kepada mahkamah untuk mengelakkan kemunduran kebebasan sivil di Indonesia,” katanya kepada Reuters.-
Antara kes fitnah yang menjadi tumpuan sebelum ini ialah dua aktivis hak asasi manusia yang didakwa memfitnah seorang menteri kanan pada 2023, tetapi mereka kemudiannya dibebaskan.
Penyanyi dan tokoh pembangkang, Ahmad Dhani, pula dipenjara selama setahun pada 2019 selepas menggelar lawan politiknya sebagai ‘bodoh’ menerusi satu video dalam talian – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






