Home Sukan GUEHI SEMAKIN HAMPIR KE MAN CITY

GUEHI SEMAKIN HAMPIR KE MAN CITY

137
0

LONDON: Manchester City berada di “peringkat akhir” untuk melengkapkan perpindahan pemain pertahanan tengah England, Marc Guehi, kata pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner, semalam.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, City meningkatkan usaha mendapatkan Guehi menerusi perjanjian yang dilaporkan bernilai £20 juta (RM108 juta) selepas dilanda krisis kecederaan serius di posisi pertahanan tengah.

Guehi, yang hampir menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan September lalu, dijangka menjadi rekrut kedua City pada jendela perpindahan Januari selepas mereka mendapatkan pemain sayap Antoine Semenyo dari Bournemouth minggu lalu dengan nilai sekitar £65 juta (RM353 juta).

Pemain berusia 25 tahun itu mengetuai Palace menjuarai Piala FA pada Mei lalu menewaskan City – trofi utama pertama dalam sejarah kelab London selatan itu – selain sudah mengumpul 26 penampilan bersama England.

Beberapa kelab lain termasuk Liverpool dan Bayern Munich turut dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain pertahanan itu, namun difahamkan lebih cenderung menunggu hingga hujung musim apabila Guehi berstatus ejen bebas.

“Pemahaman terkini, urusan bersama Marc sudah berada di peringkat akhir,” kata Glasner menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Palace menentang Sunderland.

“Kami belum boleh sahkan sepenuhnya, tetapi ia belum dimuktamadkan. Kesannya, Marc tidak bermain untuk kami esok.”

Pengendali Palace itu menambah: “Apabila pemain mahu melangkah ke fasa seterusnya, perjanjian akan berlaku. Nampaknya ia hampir berlaku sekarang.

“Semua orang mahu Marc kekal selama-lamanya. Saya bercakap dengannya dan itu kekal antara kami. Marc membuktikannya sepanjang jendela perpindahan musim panas dan sepanjang musim luruh dia 100 peratus komited bersama pasukan dan Crystal Palace.

“Saya mendoakan yang terbaik buat kariernya. Dia masih di awal perjalanan karier hebatnya. Dia seorang insan yang luar biasa.”

Glasner turut mengesahkan semalam beliau akan meninggalkan Palace apabila kontraknya tamat pada hujung musim ini. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here