Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof mengetuai delegasi Malaysia ke Jakarta dalam sesi lawatan kerja rasmi beliau bermula hari ini hingga 6 September.
Menurut kenyataan media dalam rangka lawatan kerja rasmi tersebut, beliau dijangka akan hadir dan menyampaikan ucaptama di Indonesia International Sustainability Forum 2024 (ISF 2024) di Jakarta, Indonesia pada 5 hingga 6 September 2024 atas jemputan Kerajaan Indonesia.
Kehadiran beliau ke forum tersebut bakal memperkukuh imej dan peranan Malaysia dalam agenda kelestarian dan kemampanan di peringkat antarabangsa terutamanya dalam visi peralihan tenaga, selain menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam mencapai agenda net zero menjelang tahun 2050.
Pendirian Malaysia dalam menunjukkan komitmen aktif dalam agenda kemampanan dan kelestarian dalam mitigasi iklim melalui perluasan penggunaan tenaga boleh baharu di peringkat nasional dan serantau, termasuk dalam aspek coal phasing-out adalah penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti ISF 2024.
Selain itu, ia turut menunjukkan ketersediaan Malaysia dalam melaksanakan peralihan secara lestari kepada para pelabur asing agar boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk membuat pelaburan di Malaysia sekali gus mendorong para pelabur menyempurnakan agenda kemampanan dan matlamat Environmental, Social and Governance (ESG).
Pada masa yang sama, beliau turut dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Koordinasi Bidang Kemaritiman dan Investasi Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Bapak Luhut Binsar Pandjaitan.
Dalam siri lawatan rasmi beliau ke Jakarta, Fadillah turut dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di Jakarta bagi berkongsi mengenai usaha dan inisiatif pembangunan terkini negara terutamanya dalam aspek peralihan tenaga.
IMedikel TV






