Lagu berjudul Masing Masing nampaknya benar-benar menjadi mahakarya yang membawa pelbagai kejayaan buat penyanyi, Ernie Zakri.
Selepas dilancarkan, satu-persatu pencapaian digapai Ernie bukan saja di Malaysia, bahkan hingga ke luar negara.
Terbaru, karya ciptaan Ade Govinda itu sekali lagi dianugerahkan Anugerah Platinum selepas meraih jualan dan penstriman yang tinggi.
Bagi Ernie, lagu itu berjaya membuktikan kualiti menjadi daya tarikan utama sehingga membuatkan ramai pendengar jatuh cinta.
“Alhamdulillah, sudah semestinya saya sangat gembira sebab lagu ini mencipta kejayaan yang sangat besar dalam karier saya. Lagu ini juga mendapat sambutan yang sangat besar sekali di Malaysia. Ia memberikan satu impak yang sangat positif dan juga memberikan satu memori yang banyak dengan lagu Masing Masing.
“Ia tidak hanya berjaya menjana perhatian yang meluas daripada peminat muzik, malah menarik minat ramai melalui platform digital. Prestasi lagu ini mencapai tahap penstriman dan jualan yang tinggi membuktikan kualiti serta daya tarikan yang dimiliki oleh lagu ini.
“Bagi saya, Masing Masing juga menonjolkan dimensi emosi yang mendalam yang berjaya mengetuk jiwa dan perasaan peminat muzik,” katanya.
Ernie juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan menjadikan Masing Masing sebahagian kehidupan mereka.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang menyokong dan menjadikan lagu Masing Masing sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Anugerah Platinum ini adalah bukti kekuatan sokongan peminat, dan saya dedikasikan kejayaan ini kepada anda semua.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua peminat dan pendengar yang sentiasa menyokong lagu Masing Masing dan disebabkan lagu ini juga album Aura mendapat sambutan yang sangat baik, Alhamdulillah.
“Teristimewa juga buat Ernienators, terima kasih kerana selalu menyokong, mendoakan dan sentiasa ada dengan saya. Saya juga berharap selepas ini, semoga lagu-lagu yang lain juga mendapat sambutan yang baik juga, insya-Allah,” katanya.
“Insya-Allah, saya akan mengadakan konsert solo. Pengumuman akan dibuat tidak lama lagi. Kalau boleh memang nak umumkan secepat mungkin,” katanya.
Masing Masing juga kini tercalon dalam senarai Top 20 bagi kategori Lagu Paling Boom Popular di Anugerah Bintang Popular BH 36 (ABPBH36). – HMetro Online –
IMedikel TV






