Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Empat buah rumah kosong dua tingkat berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Jalan Keloncor di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.05 pagi melalui Sistem NG999.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu , TPgB Zuzuki Shafiee dalam kenyataan memaklumkan, jentera pertama dari BBP Kota Bharu tiba di lokasi kejadian pada jam 2.11 pagi, kira-kira lima kilometer dari balai, sebelum operasi pemadaman turut dibantu pasukan dari BBP Kota Darul Naim dan BBP Tunjong.
“Komander Operasi lapor kebakaran membabitkan empat buah rumah kosong tidak berpenghuni dengan keluasan kira-kira 40 x 70 kaki setiap unit.
“Daripada jumlah itu, tiga buah rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kecil sekitar dua peratus. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.33 pagi dan ditamatkan pada jam 5.20 pagi.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air daripada tangki jentera serta bekalan air daripada pili bomba,” katanya.
Seramai 30 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan jentera terdiri daripada dua Fire Rescue Tender (FRT), satu Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu Water Tanker, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu Aerial Ladder Platform (ALP) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
IMedikel TV






