Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
JELI: Empat individu cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Banjaran Titiwangsa menghala ke Jeli, tengah hari tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Mohammad Asraf Mat Nazi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.01 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 48 kilometer.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 12.52 tengah hari, didapati seorang mangsa tersepit di bahagian hadapan sebelah pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, manakala tiga lagi mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Grik menggunakan EMRS BBP Jeli dan BBP Grik untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, operasi itu melibatkan seramai 17 anggota dari BBP Jeli, BBP Grik serta enam anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.10 petang sebelum tamat pada jam 1.48 petang.
IMedikel TV






