Home Buletin Semasa ELEKTRIK, SISTEM PENDAWAIAN PUNCA UTAMA KEBAKARAN DI KELANTAN

ELEKTRIK, SISTEM PENDAWAIAN PUNCA UTAMA KEBAKARAN DI KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Peralatan elektrik dan sistem pendawaian menjadi punca utama kebakaran di negeri ini dalam tempoh dua tahun sejak 2023.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Farhan Sufyan Borhan, berkata sebanyak 77 peratus kebakaran direkodkan pada 2023 manakala 78 peratus pada tahun lalu.

”Mengikut statistik kejadian kebakaran tertinggi di Kelantan berpunca daripada elektrik iatu sebanyak 77  peratus dalam tempoh dua tahun ini.

”Ini amat merisaukan kami dalam jabatan bomba. Dan kami akan meningkatkan lagi kempen-kempen keselamatan dan kebakaran. Terutama mengenai penggunaan elektrik. Kita akan fokus tahun ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Kelantan, di Tunjong, di sini, hari ini.

Katanya pada 2023, sebanyak 689 kes kebakaran struktur direkodkan dengan 537 kes berpunca daripada elektrik manakala meningkat kepada 821 kes kebakaran dengan 634 kes dikenal pasti faktor yang sama pada tahun lalu.

”Pada tahun ini kita jangkakan punca kebakaran adalah berkaitan elektrik juga. Punca utama adalah penggunaan barangan elektrik dan sistem pendawaian di rumah juga bangunan.

”Biasanya ia membabitkan rumah jenis kayu,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menyemak dan memastikan sistem pendawaian dan peralatan yang digunakan dirumah diselenggara dengan baik terutama bagi yang lebih 10 tahun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menerima empat unit pam air berkapasiti tinggi untuk membantu pemadaman pembakaran terbuka sebagai langkah persediaan berdepan kebakaran khususnya di tanah gambut.

Katanya pam air yang diterima pada akhir tahun lalu sudah diagihkan kepada empat balai yang menerima panggilan kebakaran tertinggi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, BBP Pasir Puteh, BBP Tanah Merah dan BBP Tunjong.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here