Home Buletin Semasa LEBIH 1,700 PASANGAN SERTAI PROGRAM BuAI

LEBIH 1,700 PASANGAN SERTAI PROGRAM BuAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang dilancarkan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak Februari lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata setakat ini lebih 1,700 pasangan sudah menyertai program tersebut dan sudah melebihi sasaran.

”Sasaran bagi program BuAI adalah 1,300 pasangan namun disebabkan ramai pasangan yang ingin mendapatkan zuriat, maka jumlah itu melebihi sasaran.

”Kita buka peluang kepada 100 pasangan di setiap negeri untuk menyertai program ini,”katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan 2025, di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Katanya program itu terbuka kepada pasangan yang berumur 35 tahun ke bawah yang ingin mendapatkan zuriat.

Katanya kos rawatan tersebut sebanyak RM2,000 namun LPPKN akan menanggung kos tersebut bagi mereka yang menyertai program BuAI.

”Pihak kami akan menanggung kos rawatan tersebut, kalau di luar mencecah RM2,000. Kalau di swasta pula kos mencecah RM50,000 hingga RM80,000.

”Di LPPKN kita bagi rawatan percuma kepada pasangan yang ingin mendapatkan zuriat dengan memenuhi syarat yang sudah ditetapkan.

”Rawatan itu dinamakan Intrauterine Insemination (IUI) iaitu prosedur kesuburan di mana sperma yang diproses dengan teliti diletakkan terus ke dalam rahim, meningkatkan peluang untuk persenyawaan dan kehamilan,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menubuhkan sebuah Pusat Fertiliti Negara di Shah Alam.

Katanya pusat tersebut dijangka siap pada 2029 dan boleh menampung 1,300 pasangan yang menyertai program itu.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluaarga dan wanita, Rohani Ibrahim, Ahli Dewan Undan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here