KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa pada 23 dan 24 Disember depan kepada pengguna kenderaan persendirian sempena sambutan perayaan Hari Krismas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
”Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuhraya bertol.
”Pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Beliau berkata, pemberian diskaun itu juga selari dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
Jelas beliau, pemilihan tarikh itu juga sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah.
”Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuh raya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.
”Pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui apps TuJu Highway Navigation App LLM dan aplikasi MyPLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar.
”Di samping itu, pengguna lebuh raya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Mereka boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook, X @LLMtrafik, TikTok @llmtrafik, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM 1-800-88-7752.
IMedikel TV






