Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Terdapat pelbagai dialek di seluruh Malaysia. Malah ada yang sukar difahami.
Oleh itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif dengan menyediakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) bagi memudahkan orang ramai menyemak dialek dari pelbagai negeri.
Pihaknya juga berterusan dalam mengemaskini glosari dialek tersebut menerusi dalam talian PRPM dari masa ke semasa.
Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Ismail, pihaknya telah menubuhkan PRPM bagi memudahkan orang ramai untuk memahami dialek Kelantan dan Pantai Timur.

“DBP sendiri ada PRPM iaitu seperti kamus di hujung jari maknanya melayari internet untuk merujuk pelbagai dialek bukan sahaja bahasa kelantan tetapi negeri lain juga,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai boleh melayari laman web PRPM bagi menyemak dialek-dialek yang sukar difahami.
Katanya, DBP sentiasa komited dalam mengemaskini glosari dialek Kelantan dari masa ke semasa bagi mengelakkan ia ketinggalan arus kemodenan.
Jelas beliau, glosari tersebut juga diterbitkan dalam bentuk cetakan serta boleh didapati di mana-mana kedai buku.
“DBP sudah lama terbitkan dialek Kelantan dan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Ariza berkata, PRPM bukan sahaja menyediakan glosari dialek Kelantan malah terkandung juga dialek dari negeri-negeri lain di Malaysia.
Selain itu, jelasnya, pihak DBP sentiasa berterusan dalam melaksanakan kegiatan untuk menyemai semangat cinta akan bahasa melayu dari pelbagai peringkat masyarakat.
“Saban hari kita berterusan melaksanakan pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan untuk memperkasakan lagi Bahasa kita,” katanya.
I Medikel TV






