KUALA LUMPUR: Pemain boling negara, Rafiq Ismail berharap Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) 2025 yang akan membuka tirai dari 25 Mei hingga 1 Jun di Sunway Mega Lanes akan memberi tuah kepadanya selepas dua kali bergelar naib juara tahun ini.
Memetik laporan Harian Metro, Rafiq turut menegaskan dia perlu melakar keputusan positif di KLIO dalam usahanya untuk mempertahankan gelaran juara Asia buat tahun kelima selain memperbaiki pencapaian tahun lalu di kejohanan yang sama.
“Tahun lalu keputusan saya agak teruk di Terbuka KL apabila berada di kedudukan 24 keseluruhannya. Jadi kali ini, saya harap dapat memperbaikinya dan mempertingkatkan lagi prestasi saya.
“Kejohanan kali ini juga penting kerana ia adalah antara kejohanan yang menjadi penilaian untuk dipilih ke Kejohanan Dunia dan Sukan Sea, Thailand nanti,” kata Rafiq yang bergelar naib juara di Kejohanan PBA di Amerika Syarikat (AS) dan Piala Dunia 2025 di Hong Kong.
KLIO 2025 bakal memasuki tahun kedua sejak kembali dipertandingkan selepas lapan tahun menyepi dan untuk edisi kali ini, seramai lebih 800 pemain daripada 12 negara akan beraksi.
Edisi kali ini turut menawarkan peningkatan daripada jumlah hadiah keseluruhan, meningkat kepada RM317,000 daripada RM250,000 tahun lalu sekali gus menjadi antara kejohanan boling paling lumayan di Malaysia.
Juara Divisyen Terbuka akan membawa pulang RM30,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM15,000 dan RM8,000.
Juara Divisyen Graded pula bakal menerima habuan RM20,000, diikuti RM10,000 untuk naib juara dan RM6,000 bagi tempat ketiga. – HMetro Online –
IMedikel TV






