LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Michael Carrick memuji sikap pemain Manchester United selepas kemenangan ke atas Chelsea di Stamford Bridge – kemenangan pertama kelab itu di gelanggang berkenaan dalam tempoh lebih enam tahun.
Matheus Cunha muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan bagi membantu United menghampiri slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
United berdepan cabaran besar menjelang perlawanan itu selepas tewas kepada Leeds serta kehilangan empat pertahanan tengah utama.
Penggantungan menyaksikan Harry Maguire dan Lisandro Martinez tidak diturunkan, manakala kecederaan Leny Yoro serta ketiadaan jangka panjang Matthijs de Ligt memaksa Carrick merombak benteng pertahanan.
Gandingan baharu membabitkan pemain 19 tahun, Ayden Heaven yang membuat penampilan pertama di bawah Carrick, bersama Noussair Mazraoui berjaya mempamerkan aksi mantap bagi memastikan kubu United kekal kebal.
“Saya amat bangga dengan semua, pemain, staf dan penyokong. Banyak cabaran sebelum perlawanan termasuk penggantungan dan kecederaan, namun sikap pemain sangat luar biasa,” kata Carrick.
Beliau turut memuji disiplin taktikal pasukan, terutama selepas mendahului, apabila Chelsea meningkatkan tekanan pada babak kedua.
Carrick juga memberi kredit kepada barisan kejurulatihan serta pemain muda yang menampilkan persembahan cemerlang dalam perlawanan penting itu.
Pada masa sama, beliau mengakui peranan besar kapten Bruno Fernandes yang disifatkan sebagai tonggak utama pasukan.
“Dia menunjukkan contoh terbaik, beraksi konsisten dan mempunyai pengaruh besar di atas padang,” katanya.
Carrick menegaskan kemenangan itu penting dalam usaha memperbaiki kedudukan liga, namun enggan terlalu selesa.
“Kami masih belum berada di tahap yang diinginkan. Kami mahu terus meningkat dan bergerak ke depan,” tambahnya. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






