Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai dalang sindiket dadah kini menjadi buruan polis selepas berjaya menangkap tiga individu dan merampas dadah bernilai RM1.82 juta, di Kuala Krai, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak polis sedang mengesan wanita terbabit melalui Pihak Berkuasa Thailand kerana suspek dipercayai mempunyai dua-kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.
“Dalang sindiket ini dipercayai seorang wanita yang berpangkalan di negara jiran, dan kita sedang menyiasat mastermind ini sama ada mempunyai dua-kerakyatan atau tidak, sindiket ini juga dipercayai aktif sejak September 2024,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata tiga individu yang ditangkap adalah berusia antara 32 hingga 50 tahun.
Jelasnya, tangkapan itu adalah hasil risikan JSJN Bukit Aman selama empat bulan menerusi Ops Agas.

Katanya, operasi itu dijalankan menerusi dua serbuan di Kuala Krai pada 3 Januari lalu, dan berjaya mematahkan sindiket pengedaran bunga ganja daripada terlepas ke pasaran antarabangsa.
”Serbuan pertama di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, polis menangkap seorang lelaki serta merampas sebanyak 320 bungkusan plastik lutsinar yang berisi bunga ganja seberat 52 kilogram (kg) selepas aksi kejar mengejar sehingga membabitkan pelanggaran dengan kenderaan Proton Exora.
”Manakala serbuan kedua di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, juga berlaku aksi kejar mengejar sehingga berlaku rempuhan kereta Perodua Myvi sebelum berjaya menangkap dua lagi suspek,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah mengambil bekalan dadah di pengkalan jambu, Rantau Panjang dan dibawa ke sebuah rumah transit di hujung Kampung Pulau Gajah, Sabak Pengkalan Chepa sebelum dihantar ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
”Sekiranya dadah ini dihantar ke pasaran, ia boleh merosakkan seramai 104,000 orang termasuk generasi akan datang yang menggunakannya.
”Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dua kenderaan berjumlah RM1.92 juta,” katanya.
Hussein berkata, suspek pertama berperanan sebagai koordinator serta didapati positif dadah manakala suspek kedua dan ketiga sebagai transporter.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebat sehingga 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula 3 Januari hingga 16 Januari,” katanya.
IMedikel TV






