LONDON: Pengurus baharu Chelsea, Liam Rosenior menikmati permulaan sempurna dalam era kendaliannya apabila The Blues membelasah Charlton 5-1 pada pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.
Jorrel Hato menjaringkan gol sulungnya bersama Chelsea pada hujung babak pertama di Stadium The Valley, sebelum Tosin Adarabioyo menggandakan kelebihan pelawat sejurus separuh masa kedua bermula.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, walaupun Miles Leaburn merapatkan jurang buat Charlton, jaringan Marc Guiu, Pedro Neto dan Enzo Fernandez memastikan Rosenior meraih kemenangan sulung ke atas pasukan yang kini menghuni tangga ke-19 Liga Kejuaraan.
Dibawa masuk dari Strasbourg untuk menggantikan Enzo Maresca yang berpisah dengan Chelsea minggu lalu, Rosenior menunaikan hasratnya untuk “terus memecut” dengan menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan kelab itu.
Pengurus berusia 41 tahun itu bakal berdepan ujian lebih getir pada perlawanan pertama di laman sendiri Rabu ini apabila Chelsea menerima kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga.
Rosenior sebelum ini berdepan dakwaan beliau dipilih sebagai ‘yes-man’ kepada pihak pengurusan Chelsea susulan tempoh penuh kontroversi di bawah kendalian Maresca.
Hakikat Strasbourg berada di bawah kumpulan pemilikan sama dengan Chelsea turut mencetuskan tanggapan Rosenior lebih cenderung menerima pandangan pihak atasan berbanding Maresca.
Berdiri di tepi padang dengan cermin mata, baju leher tinggi dan buku nota di tangan, Rosenior kelihatan lebih seperti pensyarah muda universiti berbanding pengurus EPL.
Namun penampilan boleh mengelirukan apabila Rosenior sebelum ini membina reputasi sebagai jurulatih muda berbakat selepas mengemudi Strasbourg menamatkan saingan liga Perancis di tangga ketujuh musim lalu.
Rosenior menyaksikan kekalahan Chelsea 1-2 kepada Fulham pada Rabu lalu dari tempat duduk penonton ketika pengurus sementara Calum McFarlane mengendali pasukan.
Selepas merayu diberi masa untuk membuktikan dirinya “layak” mengendalikan Chelsea, Rosenior melakukan lapan perubahan pada perlawanan sulungnya dan mengambil risiko dengan mengetepikan penyerang England, Cole Palmer.
Bekas pengurus Hull itu kekal berpegang kepada prinsipnya dengan menurunkan formasi tiga pertahanan, sama seperti pendekatan yang digunakannya bersama Strasbourg.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






