Home Luar Negara BRAZIL HANTAR PULANG LELAKI PALESTIN DIDAKWA JURUCAKAP HAMAS, ISTERI WARGA MALAYSIA

BRAZIL HANTAR PULANG LELAKI PALESTIN DIDAKWA JURUCAKAP HAMAS, ISTERI WARGA MALAYSIA

256
0

BRASILIA: Brazil menghantar pulang seorang lelaki Palestin dan keluarganya selepas polis persekutuan Brazil dimaklumkan oleh Amerika Syarikat (AS) bahawa seorang “anggota Hamas” sedang dalam perjalanan ke negara Amerika Selatan itu, kata pihak berkuasa Brazil pada Isnin.

Muslim Abuumar bersama isterinya yang sedang hamil, anak lelaki dan ibu mentuanya, ditahan pada Jumaat ketika memasuki negara itu menerusi lapangan terbang Guarulhos di Sao Paulo dan menaiki penerbangan Qatar Airways untuk pulang ke Doha, dua hari kemudian, sumber polis kepada Reuters.

“Permintaan itu datang daripada Jabatan Negara AS,” kata seorang pegawai kanan polis persekutuan. “Ia dibuktikan di hadapan hakim bahawa (Abuumar) terbabit secara mendalam dengan Hamas,” katanya.

Hakim Milenna da Cunha, dalam keputusannya dilihat oleh Reuters berkata, polis persekutuan Brazil menerima amaran melalui kedutaan AS bahawa “seorang anggota Hamas, Muslim Abuumar” akan tiba di Brazil dari Kuala Lumpur.

Menurut injunksi yang difailkan oleh peguam Abuumar, Bruno Henrique de Moura, keluarga Palestin itu ditahan polis semasa memasuki lapangan terbang Guarulhos, tanpa waran. Dikatakan, mereka datang melawat abang yang tinggal di Brazil.

Sumber polis Brazil, bagaimanapun berkata, Abuumar bukan datang untuk melawat tetapi tinggal di Brazil dan menjadi jurucakap Hamas. Satu sumber, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata, jumlah besar bagasi yang dibawa bersama keluarganya menunjukkan dia merancang untuk tinggal lebih lama.

Abuumar, 37, adalah pengarah eksekutif Asia Middle East Center, dan isterinya warga Malaysia dan anak-anaknya kelahiran Malaysia, kata injunksi yang difailkan peguamnya.

Sumber polis berkata, Abuumar pertama kali terbang ke Brazil tahun lalu, tiba pada 1 Januari, hari Presiden berhaluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva mengangkat sumpah memegang jawatan untuk penggal baharu.

Lula mempertahankan penyelesaian dua negara bagi konflik Palestin dan mengutuk tindak balas tentera Israel di Gaza terhadap serangan Hamas 7 Oktober ke atas Israel.

Pertubuhan Pembebasan Palestin mempunyai wakil di Brasilia sejak Brazil mengiktiraf Palestin pada 1975, dan kerajaan Lula membenarkan sebuah kedutaan Palestin di ibu negara Brazil itu pada 2010 pada penghujung penggal kedua sebagai presiden.

Hakim Cunha dalam keputusannya yang meluluskan pengusiran itu memetik siaran media sosial Abuumar yang menyatakan dia bertemu di Doha dengan Ismail Haniyeh iaitu ketua pemimpin politik Hamas. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here