Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan mula menguatkuasakan pemasangan Peranti Had Kelajuan atau Speed Limitation Device (SLD).
Menterinya, Anthony Loke berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha bas termasuk bas pelancongan yang beroperasi tanpa SLD.
“Pemasangan SLD bertujuan mengehadkan kelajuan maksimum bas kepada tahap yang ditetapkan, iaitu sekitar 90 kilometer (km)sejam, sekali gus menghalang kenderaan berkenaan dipandu melebihi had yang dibenarkan.
“Pelaksanaan pemasangan SLD sudah dimulakan secara berperingkat, dengan fasa pertama berakhir pada 31 Disember lalu dan kini memasuki peringkat pemprosesan serta penguatkuasaan.
“Sekiranya didapati bas tidak dipasang dengan peranti berkenaan, tindakan penguatkuasaan akan diambil. Bagi bas baharu, pemasangan SLD diwajibkan sepenuhnya termasuk bas ekspres dan bas pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST)-Bas.My Kota Bharu, yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif Konsortimum E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Selain itu, Anthony Loke berkata, kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga sedang membangunkan pangkalan data pemandu bas bagi merekodkan latar belakang serta tahap disiplin pemandu.
“Pangkalan data itu akan disertakan dengan pengeluaran kad pemandu bagi membolehkan syarikat pengendali membuat semakan rekod sebelum mengambil seseorang pemandu bekerja.
“Melalui sistem ini, syarikat dapat mengenal pasti sama ada seseorang pemandu mempunyai rekod baik atau sebaliknya, termasuk kesalahan lampau atau isu pembaharuan lesen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementerian turut melaksanakan proof of concept bagi penggunaan teknologi telematik yang bertujuan memantau tingkah laku pemandu ketika memandu, termasuk tahap keletihan, kelajuan dan cara pemanduan.
“Dengan adanya telematik dan kamera papan pemuka, sikap serta disiplin pemandu dapat dipantau dan direkodkan. Matlamat utama kita adalah untuk mengubah sikap pemandu supaya lebih berhemah,” katanya.
“Bagaimanapun telematik belum diwajibkan setakat ini, sebaliknya digalakkan kepada syarikat pengendali bagi menilai keberkesanan sistem tersebut sebelum sebarang keputusan dasar dibuat,”katanya.
Loke turut memaklumkan kementerian sedang merancang untuk memperkenalkan kursus pemanduan defensif khusus kepada pemandu bas sebagai satu lagi langkah meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menurutnya, ketika ini pemandu bas hanya memerlukan lesen kelas E tanpa latihan ulangan, berbeza dengan juruterbang yang perlu menjalani latihan dan penilaian semula lesen secara berkala.
“Kita sedang melihat keperluan untuk memperkenalkan sistem latihan semula dan kursus tambahan kepada pemandu bas, terutama mereka yang mempunyai rekod tertentu,” katanya.
IMedikel TV






