Home Sukan BARCELONA PECAT XAVI SELEPAS MUSIM TANPA TROFI

BARCELONA PECAT XAVI SELEPAS MUSIM TANPA TROFI

BARCELONA: Barcelona memecat jurulatih Xavi Hernandez semalam selepas kelab gergasi Catalunya itu gagal memenangi sebarang trofi musim ini namun hanya beberapa minggu sejak beliau dan presiden kelab Joan Laporta bersetuju kekal dengan jawatan itu.

Xavi akan mengendalikan perlawanan terakhir pasukan itu dalam La Liga di Sevilla malam esok sebelum melangkah pergi.

“Presiden Barcelona, Joan Laporta memberitahu Xavi Hernandez beliau tidak akan meneruskan sebagai jurulatih bagi musim 2024-25,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.

Bekas jurulatih Bayern Munich dan Jerman, Hansi Flick menjadi calon pilihan utama untuk menggantikan Xavi.

“Ia tidak mudah untuk meninggalkan kelab sepanjang hayat anda, tetapi saya amat berbangga,” kata Xavi dalam satu surat terbuka disiarkan di laman sosial.

“Bermula Ahad ini saya hanya akan menjadi seorang peminat Barca, di bangku penonton, sama ada di Stadium Olimpik atau dalam beberapa bulan lagi di Nou Camp yang baharu.

“Kerana sebelum menjadi seorang pemain atau jurulatih, saya seorang penyokong Barcelona dan saya hanya mahukan yang terbaik buat kelab, yang akan mendapat sokongan saya selama-lamanya.”

Pada Januari lalu, Xavi mengumumkan beliau akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini, tetapi selepas beberapa keputusan memberangsangkan, pada April beliau dan presiden Laporta bersetuju jurulatih itu akan kekal bagi kempen berikutnya, dengan kontrak semasanya berakhir pada Jun 2025.

Bagaimanapun, situasi berubah pantas dengan media Sepanyol melaporkan Laporta berang dengan komen Xavi menyatakan sukar buat kelab yang berdepan masalah kewangan itu untuk bersaing dengan Real Madrid atau kelab elit Eropah yang lain.

Flick, 59, tidak melatih sejak Jerman memecatnya pada 2023 selepas beberapa keputusan buruk.

Sebelum ini Flick mengemudi Bayern meraih treble pada 2020, termasuk membelasah Barcelona 8-2 pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Barcelona menjuarai La Liga musim lalu namun gagal mempertahankan kejuaraan itu.

Mereka tersingkir di tangan Paris Saint-Germain pada suku akhir Liga Juara-Juara, dibelasah Real Madrid pada final Piala Super Sepanyol dan tumpas kepada Athletic Bilbao dalam Copa del Rey.

Xavi dilantik pada November 2021 menggantikan Ronald Koeman, menyasar untuk kembali meletakkan kelab itu di puncak selepas bertahun-tahun bergelut di Eropah susulan kejayaan mereka dalam Liga Juara-Juara 2015.

Sebagai pemain Xavi melakukan 767 penampilan buat kelab Catalunya itu, hanya berada di belakang Lionel Messi, memenangi lapan kejuaraan La Liga dan empat Liga Juara-Juara antara koleksi trofinya. – AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here