TAIPEI: Penyanyi dan pelakon Taiwan, Barbie Hsu meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat radang paru-paru selepas menghidap influenza.
Berita sedih itu disahkan oleh adik perempuannya, Dee Hsu yang memaklumkan kakaknya meninggal dunia ketika bercuti di Jepun.
“Terima kasih kepada semua yang mengambil berat. Semasa cuti Tahun Baru, seluruh keluarga kami melancong ke Jepun. Kakak saya meninggal dunia akibat radang paru-paru selepas dijangkiti influenza.
“Saya bersyukur menjadi adiknya. Kami saling menjaga antara satu sama lain dan saya akan sentiasa berterima kasih dan mengenangnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada portal berita, TVBS News.
Hsu adalah satu nama besar selepas dikenali dengan watak Dong Shansai dalam drama popular tahun 2001, Meteor Garden.
Untuk rekod, Hsu memulakan kerjaya dalam industri hiburan pada usia 17 tahun sebagai penyanyi duo pop bersama adiknya, Dee.
Mereka berdua kemudiannya menjadi pengacara dan cukup dikenali dengan gaya bertenaga dan lucu.
Sebelum ini, Hsu mempunyai sejarah penyakit epilepsi dan jantung. Dia pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini akibat mengalami sawan. – HMetro Online –
IMedikel TV






