Home Buletin Semasa BAPA SAUDARA MENTAL MENGAMUK, CAMPAK ANAK SAUDARA KE SUNGAI

BAPA SAUDARA MENTAL MENGAMUK, CAMPAK ANAK SAUDARA KE SUNGAI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya yang mengamuk di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini, pagi tadi.

Suspek berusia 37 tahun itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, turut mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun di luar rumah selepas kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 9.30 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Sedili bergegas ke lokasi kejadian.

“Polis menahan suspek di lokasi kejadian dan ketika tangkapan dibuat berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Yusof, pembantu pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak terbabit.

Katanya mayat kanak-kanak berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi, sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang untuk bedah siasat esok.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak melebihi 12 kali,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here