Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: ‘Ibarat habis gelap terbitlah terang’, seorang hafiz yang lumpuh dan hidup dengan 18 skru serta besi dalam badan akibat kemalangan lapan tahun lalu nekad menghafal semula al-Quran selepas hilang sepenuhnya ingatan.
Berbekalkan semangat dan sokongan keluarga, dia memulakan kembali hafalan dari surah al-Fatihah, walaupun sebelum ini pernah menguasai 30 juzuk al-Quran.
Ketika kru IMedikel TV berkunjung ke rumahnya di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang, di sini, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 25, terbaring di atas katil dengan wajah yang sayu.
Namun malangnya, Muhammad Faiz Hafizuddin mengakui langsung tidak mengingati kejadian itu ibarat terpadam terus dalam ingatannya.
Dia hanya boleh menceritakan kejadian itu daripada kisah yang diceritakan oleh ibu dan ayahnya sendiri.
“Saya memang tidak ingat tentang kemalangan itu, bahkan ibu bapa pun saya tidak kenal saya umpama bayi yang baru lahir.
“Setelah saya sedar dari koma tiga bulan, otak saya kosong, segala hafalan sudah hilang,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Katanya, hari demi hari dia berusaha mengingati semula detik tersebut dengan bantuan orang sekeliling, selain menerima sokongan daripada keluarga.
Tragedi nahas itu mengakibatkan Muhammad Faiz Hafizuddin kehilangan tujuh sahabat dari Maahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang, namun dia mengetahui berita itu setelah dua tahun kejadian itu.
Kemalangan itu membabitkan sebuah van yang membawa 12 pelajar tahfiz dan dua guru agama terbabas sebelum merempuh rumah di Kilometer 55 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Telekong, Kuala Krai kira-kira jam 9.30 pagi, pada 2 Jun 2017.
“Kemalangan itu menyebabkan saya lumpuh pada perut hingga ke bawah, sekarang ini saya memang tiada deria, yang ada hanya sakit dan lenguh belakang.
“Tulang belakang saya pecah menyebabkan doktor terpaksa memasukkan 18 biji skru dan besi pada belakang badan,” katanya.
Katanya, dia masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Bercerita mengenai cabaran rutin hariannya, Muhammad Faiz Hafizuddin berkata agak sukar untuk dia menghafal al-Quran memandangkan dia hanya berada di ruang tamu.
Menurutnya salah satu cabaran untuk menghafal adalah dari segi tempat kerana menganggu keselesaan ahli keluarganya yang lain.
Muhammad Faiz Hafizuddin meluahkan bahawa bilik khusus amat diperlukan bagi memudahkannya mengaji, solat, menukar lampin pakai buang serta bergerak dengan kerusi roda kerana rumah teres yang didiami kini agak sempit.
Dia kini dijaga sepenuh masa oleh ibu dan bapanya Mohd Izahir Kassim, 57, dan Jahsuriawany Mustapha, 53.
Mohd Izahir yang juga pesara tentera berkata, setakat ini anaknya menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pernah menerima sumbangan wang tunai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
“Dia ini seorang pendiam tapi selepas kejadian ini saya nampak dia semakin aktif bercakap, ada perubahan positif.
“Setiap malam saya dan isteri fikir sekiranya kami sudah tiada nanti bagaimana keadaannya, sebab dia masih belum boleh uruskan diri, jadi sekarang ini saya bagi semangat kepadanya untuk lebih berdikari,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir bernombor 0301541100060745.
IMedikel TV






