Home Sukan BADANG PAHANG RAIH TUJUH EMAS, LIMA PERAK, LIMA GANGSA DI PERLIS

BADANG PAHANG RAIH TUJUH EMAS, LIMA PERAK, LIMA GANGSA DI PERLIS

404
0

KUANTAN: Pasukan angkat berat Pahang meraih tujuh emas, lima perak dan lima gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Bakat Kebangsaan 2025 di Dewan Pertubuhan Anak Yatim Mak Teh, Kangar, Perlis, kelmarin.

Memetik laporan Harian Metro, Tok Gajah menyenaraikan seramai 12 atlet lelaki dan wanita pada kejohanan yang mempertandingkan tiga kategori iaitu 13, 15 dan 17 tahun.

Jurulatih angkat berat Pahang, Sapri Ab Latip berkata, prestasi atlet pada kejohanan kali ini lebih meningkat berbanding tahun lalu di Selangor yang menyaksikan Tok Gajah hanya meraih satu emas, tiga perak dan dua gangsa disumbang atlet bawah 15 tahun.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa atlet yang diberi sasaran gagal membawa pulang pingat namun secara keseluruhan prestasi pada kejohanan pembuka tirai tahun ini boleh dibanggakan.

Katanya, kejohanan ini menjadi platform penting dalam menilai tahap prestasi atlet muda Pahang yang akan memikul tanggungjawab diperingkat terutama Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.

“Kejohanan ini memberikan pengalaman berharga buat atlet muda untuk mereka melakar kejayaan di pentas kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang. Mereka menunjukkan potensi untuk berkembang di masa hadapan.

“Atlet menunjukkan komitmen tinggi sepanjang kejohanan dan pencapaian ini diharapkan dapat menjadi motivasi untuk persiapan menghadapi kejohanan akan datang,” katanya, di sini semalam.

Pada kejohanan selama seminggu itu tujuh pingat emas disumbang oleh Citra Lestari Abdullah dalam kategori 44 kilogram (kg) bawah 15 tahun, Nur Izzati Baiduri Sudirman kategori 77kg bawah 15 tahun dan Adam Shah Iskandar Azman kategori 88kg bawah 17 tahun.

Pingat perak oleh Siti Nur Aliya Maisarah Suid kategori 53kg bawah 15 tahun dan Muhammad Alif Haikal Zakariah kategori 60kg bawah 17 tahun.

Pingat gangsa menerusi Nur Dania Nasyiha Abdullah kategori 48kg bawah 15 tahun dan Nur Izzati Baiduri Sudirman kategori 77kg bawah 15 tahun.

Sapri menambah, prestasi cemerlang dilakar oleh Citra Lestari dan Adam Shah Iskandar yang masing-masing membawa pulang tiga pingat emas menerusi snatch, clean dan total dalam kategori 44kg serta 88kg.

Katanya, selain sesi latihan secara berterusan pihaknya turut mengadakan program mencungkil bakat baru dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi atlet muda yang akan membawa cabaran Pahang pada masa akan datang. -HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here