KUALA LUMPUR: Sejauh manakah ketahanan mental dan fizikal Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu bertahan dalam misi memburu gelaran ketiga musim ini?
Persoalan itu akan terjawab hari ini apabila beregu lelaki utama negara itu turun beraksi pada final Terbuka Singapura 2025 menentang seteru dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Memetik laporan Berita Harian, pertembungan itu bukan sekadar perebutan kejuaraan, malah menjadi misi peribadi buat Aaron-Wooi Yik yang mahu membalas dendam kekalahan kepada pasangan Korea itu di separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.
Namun, berdasarkan prestasi konsisten mereka – mara ke final keempat berturut-turut selepas Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia – gandingan negara itu jelas berada dalam momentum terbaik, meskipun sudah mengharungi tiga kejohanan dalam tempoh tiga minggu.
“Esok (hari ini) adalah perlawanan terakhir dalam siri kejohanan kami. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami akan berikan segala-galanya. Fokus utama sekarang adalah rehat dan pemulihan,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mereka menempah tiket ke final selepas mengatasi beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam pertarungan sengit 19-21, 21-10, 21-18 di Stadium Tertutup Singapura malam tadi.
“Setiap mata amat kritikal. Kami tahu mereka lawan yang kuat, jadi kami tak boleh leka walau sedikit. Kami lebih bersedia dan memahami corak permainan mereka,” ujar Wooi Yik.
Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Won Ho-Seung Jae menyingkirkan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.
Setakat ini, Aaron-Wooi Yik sudah merangkul dua kejuaraan musim ini – Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand – dan kini hanya selangkah lagi untuk menambah koleksi kejuaraan mereka.
“Penyokong Malaysia yang hadir memberi kami suntikan semangat tambahan. Mereka tahu kami mengharungi banyak kejohanan berturut-turut, tetapi kami akan tetap berjuang sehabis mungkin demi negara,” kata Wooi Yik.
Jika muncul juara, Aaron-Wooi Yik akan membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$74,000 (kira-kira RM315,000), manakala naib juara akan menerima AS$35,000 (RM149,000).
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Terbuka Singapura adalah pada edisi tahun 2008 menerusi gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari. – BH Online –
IMedikel TV






