Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
TUMPAT: Minat dalam mengumpul barang antik, bukan sahaja membantu memelihara barangan tersebut malah menjadi warisan untuk terus diingati.
Malah, ada peminat barangan antik sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mengumpul barang antik tersebut.
Bukan sahaja untuk koleksi sendiri malah mendapat pulangan modal yang besar hasil menjual barangan antik.
Nostalgia menunggang basikal antik ketika remaja mendorong seorang mekanik mengumpul pelbagai koleksi basikal klasik itu.
Hafizal Mohd Fauzi, 43, dari Pasir Tumboh, berkata basikal yang dikumpulnya susah untuk didapati pada masa kini.

“Tak ramai yang mempunyai koleksi basikal antik ini kerana susah nak dapatkan pada masa sekarang, mungkin orang lain suka akan barang baharu tapi saya suka barang lama. Setiap kali terjumpa barang-barang lama saya akan minta untuk beli dan sesetengah pemilik tidak mahu menjualnya namun ada juga yang menjual dengan harga yang agak mahal,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Tumpat, di sini, baru-baru ini.
Katanya, basikal antik mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri.
Hafizal berkata, basikal yang dibeli pada harga lebih kurang RM400 dan pada awalnya tidak sempurna serta perlu dibaiki semula.
Dia mula membeli, mengumpul dan menjual basikal antik pelbagai jenama popular termasuk Religh, Humber dan Robin Hood sejak 2010.
Selain itu, jelas Hafizal, cabaran mengumpul basikal itu adalah kesukaran untuk mendapatkan alat ganti yang sesuai kerana tidak dijual di kedai.

“Kebanyakkan basikal yang saya beli tidak cukup lengkap kerana ianya barang lama jadi saya perlu membeli barang gantiannya di dalam media sosial,”katanya.
Menurut Hafizal, setakat ini dia mempunyai tujuh basikal antik yang mendapat permintaan ramai pelanggan.
Katanya, kebanyakan mereka yang ingin membeli basikal itu adalah peminat barangan anti dari negeri luar.
Tambahnya, dia turut mempunyai dua koleksi kereta antik iaitu keluaran datsun “Triple S” 1600 C dan Mazda 1000 CC serta, satu jenis motorsikal Honda C70.
Katanya, ada pembeli yang meletakkan harga sehingga lebih RM30 ribu untuk memiliki kereta antik itu.
“Ini adalah kereta ke empat yang saya beli dan ini sahaja yang tinggal setakat ini kerana yang lain saya sudah jual.
“Ketika membelinya pada waktu itu, harga sekitar RM5 ribu namun sekarang ini permintaan sehingga RM30 ribu,”katanya.
Namun katanya, harga basikal dan kereta yang dijual semula bergantung kepada pembelian alat ganti dan proses pembaikannya.
IMedikel TV






