Home Buletin Semasa NRECC BANTAH KEPUTUSAN KERAJAAN NEGERI BERKAITAN KSAS

NRECC BANTAH KEPUTUSAN KERAJAAN NEGERI BERKAITAN KSAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memandang serius dan secara dasarnya tidak bersetuju terhadap keputusan Negeri Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada Pelan Pembangunan yang berkaitan dengan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri tersebut.

Dalam kenyataan media, menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Kerajaan Negeri Kelantan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan kali ke 22/2020 pada 21 Oktober 2020 telah memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di Negeri Kelantan.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan menyatakan pandangan Kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS di Negeri Kelantan tersebut dan bersama-sama dengan NRECC untuk memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan hutan sedia ada (forest land remaining as forest land) demi kelestarian alam sekitar,”katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Katanya pelaksanaan keputusan itu masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula pada 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023.

Jelasnya, keputusan Kelantan untuk melakukan pengubahsuaian KSAS secara langsung akan memberikan implikasi yang besar.

“Ia akan menjejaskan dasar Kerajaan dalam mencapai 50% keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN). Pengekalan HSK sebagai KSAS akan memastikan kawasan tersebut tidak boleh dibangunkan secara sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

Selain itu, Cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan,”katanya.

Malah, menurutnya tindakan itu juga dilihat akan memberi impak secara tidak langsung kepada morfologi sungai yang mana aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai, seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai.

Nik Nazmi berkata, penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga dilihat dapat menyumbang kepada masalah banjir.

Dengan itu, kementerian menekankan bahawa semua rancangan struktur yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) hendaklah selaras dengan polisi di dalam RFN dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 sedia ada yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020 dengan mengambilkira dan menetapkan KSAS selaras dengan RFN.

Beliau berkata sebarang proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan melibatkan KSAS yang tidak menepati polisi RFN akan bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan yang ditetapkan dalam RFN.

“Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang disediakan bagi menilai impak projek pembangunan kepada alam sekitar perlu merujuk kepada rancangan pemajuan. Namun Laporan EIA tidak boleh diluluskan sekiranya ia tidak selaras dengan rancangan pemajuan yang diwartakan,”katanya.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here