KOTA BHARU: Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, bercadang untuk menubuhkan bengkel bagi penyelenggaraan peralatan kesihatan dengan kerjasama bersama IMedikel Pharma Holdings Berhad (IMPHB).
Pengerusinya , Hilmi Abdullah berkata, cadangan bagi penubuhan bengkel itu adalah untuk membaikpulih kerusi roda, katil hospital dan alatan lain untuk menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.
“Sekiranya pihak IMedikel bersetuju boleh berbincang untuk membuka satu pusat untuk menyelenggara ataupun membaik pulih peralatan kesihatan.
“Cadangan itu untuk menubuhkan satu bengkel bagi menyelenggara peralatan kesihatan seperti katil hospital dan juga kerusi roda,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat daripada IMPHB di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini katil yang diagihkan kepada pesakit berlaku kerosakan, pihaknya terpaksa melupuskannya kerana berlaku kerosakan yang teruk.
Namun, pihaknya mengambil insiatif terbaru untuk menyelenggara peralatan itu.
“Saya berterima kasih kepada pihak IMedikel untuk memperkenalkan syarikat mereka yang mana sebuah syarikat bumiputera yang sedang berkembang maju yang telah 30 tahun yang beroperasi di negeri Kelantan mereka telah berjaya membeli sebidang tanah di pusat Pengkalan Chepa dan dalam proses untuk membina kilang sendiri yang merupakan kilang pertama yang akan dimiliki oleh rakyat Kelantan di bumiputera untuk menghasilkan bahan-bahan ubat-ubatan,”katanya.
Jelas beliau, pihaknya bersedia untuk melaksanakan kerjasama bersama IMPHB berkaitan kempen kesihatan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri serta membekalkan keperluan kesihatan kepada orang ramai sekitar Kelantan.