Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, IMedikel TV
KOTA BHARU: Tidak dinafikan ramai antara kita obses untuk kurus.
Sehinggakan mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil ubat atau pil kurus tanpa memikirkan kesan sampingan.
Ikuti temubual team I Medikel TV bersama Ahli Farmasi IMedikel, Muhammad Shahrizal Sanudin.

Menurut Shahrizal, ramai dalam kalangan masyarakat menganggap pengambilan pil kurus adalah salah satu sebab untuk mereka menurunkan berat badan.
“Secara umumnya, pil kurus atau ubat kurus, kebanyakan dikenali sebagai makanan tambahan (supplemen), mereka ingat dengan pengambilan itu dapat mengurangkan berat badan dalam tempoh yang singkat.
Katanya, tidak dinafikan kebanyakan mereka yang cenderung mengambil pil kurus adalah untuk penampilan fizikal mereka supaya kelihatan lebih menarik.
Disebabkan itu ramai yang berusaha untuk kurus dengan mengambil pil kurus yang dijual dalam talian.
Shahrizal berkata terdapat risiko atau pun kesan sampingan jika mengambil pil kurus yang tidak sah.
“Kalau risiko dari segi supplemen tidak sah, yang dibeli secara dalam talian, kebanyakan mengandungi bahan terlarang seperti sibutramine. Apabila kita mengambil supplemen akan ada kesan positif iaitu kita boleh kurus, tetapi kesan jangka panjang akan teruk juga sebab mengganggu fungsi tubuh.

“Sibutramine ni berfungsi untuk mengurangkan selera makan, sibutramine banyak digunakan dalam produk yang di “claim” sebagai pil kurus, sebab tu kita tengok banyak rampasan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kebanyakan produk yang dirampas mengandungi Sibutramine.
“Dalam istilah perubatan sibutramine adalah sejenis racun iaitu bahan terkawal yang memerlukan kelulusan. Sibutramine dilarang dijual dan digunakan di malaysia disebabkan oleh kesan sampingannya.”
Menurut Shahrizal, tiada istilah pil kurus daripada segi amalan perubatan yang boleh menurunkan berat badan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, antara lain kesan sampingan pengambilan pil kurus adalah pening kepala, sakit kepala yang berpanjangan, bibir menjadi kering dan juga mengganggu fungsi tubuh atau badan individu.
“Tiada benda yang kita makan boleh menurunkan berat badan dalam tempoh terdekat yang dijual di kedai dalam talian (online) tetapi ia lebih kepada supplemen yang diletakkan bahan tambahan yang memberi kesan kepada pengurangan berat badan. Tiada produk yang sebenarnya boleh mengurangkan berat badan melainkan supplement atau vitamin makanan tambahan yang dijual di farmasi ynag berdaftar itu tiada masalah.
“Contoh saya bagi supplement yang berdaftar contohnya yang mengandungi lechitin, lechitin itu adalah bahan yang boleh memecahkan lemak, kalau kita makan supplemen yang menagndungi bahan itu, tetapi kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat, makan pun tidak menentu termasuk makanan segera (fast food) itu pun tidak memberi kesan positif, semuanya akan berbalik kepada cara pemakanan juga,”katanya.

Menurut Shahrizal, terdapat pil kurus yang boleh mengurangkan selera makan.
Tetapi, katanya ia bergantung kepada bahan kandungan yang digunakan dalam pil tersebut.
“Mungkin dia gunakan ubat yang menyebabkan selera makan kita berkurang dan kita tengok apa bahan yang digunakan, kalau dia letak barang terlarang perbuatan itu tidak betul dan barang itu dikira tidak sah dan tidak selamat digunakan.”
Katanya terdapat dua akta yang melarang penjualan ubat kurus iaitu Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.
Sibutramine dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan termasuk dalam senarai “Group B Poison”.
Manakala di bawah Akta Jualan Dadah 1952, individu atau syarikat yang mengilang, menjual, membekal, mengimport atau memiliki ubat-ubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
IMedikel TV






