NYON, Switzerland: United Kingdom (UK) dan Republik Ireland akan menjadi tuan rumah bersama Euro 2028, manakala Itali dan Turkiye untuk edisi 2032.
“UK dan Ireland berterima kasih kepada UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) di atas keyakinan mereka memberikan UEFA Euro 2028 kepada lima persatuan, dan tahniah kepada Itali serta Turkiye di atas pemilihan mereka untuk UEFA Euro 2032,” kata kelima-lima persatuan itu dalam satu kenyataan bersama.
Turkiye sebelum ini gagal dalam semua bidaannya untuk menganjurkan Kejuaraan Eropah itu sejak tahun 2008, dan kemudian menjadi calon untuk edisi 2028 serta 2032.
Bagaimanapun Julai lalu Turkiye bersetuju menyertai Itali untuk membida Euro 2032.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,England, yang menganjurkan Euro Wanita tahun lalu, kali terakhir menjadi tuan rumah bagi kejohanan utama ialah pada tahun 1996, ketika Kejuaraan Eropah hanya membabitkan 16 pasukan.
Enam stadium yang dicadangkan bagi kejohanan 2028 adalah di England, dengan dua stadium di London dan lain-lainnya di Manchester, Liverpool, Newcastle dan Birmingham.
Belfast, Dublin, Glasgow dan Cardiff juga akan menjadi venue pertandingan.
Itali menganjurkan perlawanan Euro 2020 di Rome tetapi belum pernah menjadi tuan rumah sejak Piala Dunia 1990.
Turkiye, yang menjadi gelanggang final Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul tahun lalu, belum pernah diberikan hak penganjuran kejohanan besar antarabangsa.
Euro 2024 akan berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai. – AFP-AGENSI-BERITA HARIAN ONLINE-
Imedikel TV






